Siakap Keli
Gambar: The Wall Street Journal

Pertempuran Antara Tentera Rusia & Ukraine Tidak Dapat Dielak Lagi – Putin

Presiden Rusia, Vladimir Putin dilaporkan telah mengumumkan ‘operasi ketenteraan khas’ di wilayah Donbas di timur Ukraine hari ini, lapor CNN.

Memetik laporan ABC News, pengumuman itu telah dibuat secara langsung oleh Putin di televisyen dan katanya ia merupakan tindak balas kepada ancaman yang datang dari Ukraine.

Putin memberi amaran kepada negara lain bahawa sebarang percubaan untuk mengganggu tindakan Rusia akan membawa kepada ‘akibat yang tidak pernah mereka lihat’.

Pertempuran antara tentera Rusia dan Ukraine tidak dapat dielakkan lagi dan ianya hanya menunggu masa sahaja, katanya.

Menurutnya, Rusia tidak berhasrat untuk menduduki Ukraine dan sebarang pertumpahan darah yang berlaku merupakan tanggungjawab ‘rejim’ Ukraine.

“Rancangan kami bukan untuk menduduki Ukraine dan kami tidak ‘memaksakan’ diri kami kepada sesiapa pun,” katanya.

Beliau juga menyeru tentera Ukraine untuk segera meletakkan senjata mereka dan pulang ke rumah.

Selain itu, Putin juga menuduh Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya mengabaikan permintaan Rusia untuk menghalang Ukraine daripada menyertai NATO dan menawarkan jaminan keselamatan Moscow.

Menurut laporan, Rumah Putih masih belum memberikan reaksi terhadap kenyataan Putin itu, tetapi pegawai AS telah berulang kali berjanji akan mengenakan sekatan yang hebat ke atas ekonomi Rusia dan sekutu Putin sebagai tindak balas terhadap pencerobohan ke atas Ukraine.

Semasa mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB, duta Washington memberi amaran mengenai ‘skala penuh’ pencerobohan selanjutnya ke atas Ukraine oleh Rusia akan berlaku.

“Malam ini kita melihat Rusia menutup ruang udara, memindahkan tentera ke Donbas dan pasukan ke kedudukan sedia tempur,” kata utusan AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield.

Sumber: CNN, ABC News

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.