Jalan raya merupakan laluan yang digunakan setiap hari tidak kiranya dengan menggunakan motosikal, kereta, bas, lori atau lain-lain. Pun begitu, terdapat juga halangan berbahaya di atas jalan raya termasuk jalan berlubang. Keadaan jalan yang tidak rata dan berlubang ini sebenarnya boleh menyebabkan seseorang hilang kawalan ketika mengemudi kenderaannya.
Lebih berbahaya sekiranya seseorang individu itu menunggang motosikal dan boleh berisiko terbabas.
Boleh dikatakan juga, banyak jalan yang berlubang disebabkan oleh keretakan halus yang mungkin terjadi ekoran kenderaan berat yang melalui laluan tersebut. Walau bagaimanapun, ianya bagaikan sukar untuk dielakkan, malah perlu ada jalan penyelesaian yang pantas supaya boleh mengurangkan risiko kemalangan.
Hampir 64,000 Potholes Berjaya Ditampal
Tidak dinafikan, berpuluh-puluh ribu jalan berlubang yang ada di seluruh Malaysia pada tahun lepas. Mengikut data yang dikutip sehingga akhir Oktober 2021, terdapat sebanyak 63,900 bilangan potholes yang telah berjaya ditampal oleh pihak konsesi di Jalan-Jalan Persekutuan seluruh semenanjung. Mengikut bilangan itu, sebanyak RM490 per Kilometer per Bulan diperuntukkan untuk mengatasi masalah tersebut.
Faktor Keselamatan Diutamakan
Disebabkan faktor keselamatan pengguna dijadikan sebagai salah satu keutamaan, pihak bertanggung jawab telah mengerah tenaga untuk menampal permukaan jalan yang berlubang supaya keselamatan pengguna jalan raya terjamin terutamanya penunggang motosikal. Selain daripada faktor keselamatan, lubang yang mempunyai air bertakung juga boleh mengeruhkan lagi keadaan. Apa tidaknya, air yang bertakung di dalam potholes akan mudah menyerap masuk ke lapisan bawah seterusnya melemahkan asas jalan sehingga menyebabkan kerosakan yang lebih parah.
Jalan Berlubang Tanggung Jawab JKR?
Setiap kali ada isu mengenai jalan berlubang, antara nama yang menjadi perhatian adalah Jabatan Kerja Raya. Pun begitu, adakah JKR bertanggungjawab sepenuhnya terhadap jalan-jalan di Malaysia.
Bagi yang masih belum tahu, ketika didapati terdapat jalan berlubang, ianya adalah dibawah tanggungjawab pemilik jalan tersebut. Jika berlaku di jalan persekutuan, ia adalah bawah tanggungjawab JKR Malaysia manakala sekiranya di jalan negeri, jalan bandaran dan jalan kampung, ia adalah di bawah tanggungjawab kerajaan Negeri.
Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa jumlah potholes boleh mencecah puluhan ribu sepanjang tahun lepas. Ia bermakna terdapat banyak risiko kemalangan terutamanya bagi penunggang motosikal. Ekoran daripada itu, semua pihak perlu bertanggungjawab termasuk pengguna yang boleh membuat aduan ke pihak berkenaan. Sekiranya aduan diterima, lubang pada permukaan jalan akan ditampal dalam tempoh 24 jam.
Salurkan aduan kepada Kementerian atau Jabatan melalui saluran rasmi berikut:
- Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) SISPAA JKR : https://jkr.spab.gov.my/eApps/system/index.do , atau;
SISPAA KKR : https://kkr.spab.gov.my/eApps/system/index.do )
- Emel : [email protected] atau [email protected]
- Talian Telefon : 1 300 888 557 (Waktu Pejabat)