Tentera Russia dilapor sudah memasuki kawasan berdekatan loji jana kuasa nuklear Chernobyl sebentar tadi, umum Penasihat Kementerian Dalam Negeri Ukraine, Anton Gerashchenko.
Merujuk laporan Mirror, Anton Gerashchenko berkata, penceroboh-penceroboh Russia dari wilayah Belarus telah bergerak masuk ke dalam kawasan zon AES Chernobyl.
Dalam masa sama, pertempuran yang berlaku antara Russia dan Ukraine di kawasan berdekatan di sekitar situ dipercayai mungkin boleh memusnahkan fasiliti simpanan sisa nuklear, kata Anton Gerashchenko.
“Pengawal keselamatan kebangsaaan yang mengawal pengumpul sisa radioaktif nuklear yang tidak selamat itu sedang berjuang keras.
“Jika senjata penceroboh menghentam dan merosakkan pengumpul sisa nuklear, habuk nuklear yang beradioaktif boleh tersebar di Ukraine, Belarus dan negara-negara Kesatuan Eropah,” tegasnya.
Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy memperakui kehadiran tentera penceroboh Russia yang dikatakan cuba merampas zon nuklear tersebut.
“Pasukan tentera penceroboh Russia cuba merampas Chernobyl. Pihak pertahanan (tentera) kita sedang berkorban agar tragedi 1986 tidak berulang lagi.
“Ini adalah pengisytiharan perang terhadap seluruh Eropah,” katanya menerusi Twitter, merujuk Mirror.
Imbas kembali, sebahagian kawasan loji jana kuasa nuklear Chernobyl telah ditutup daripada orang awam sejak beberapa dekad yang lalu berikutan tragedi letupan dahsyat yang berlaku ketika di bawah pemerintahan Soviet Union pada 1986 lalu.
Russian occupation forces are trying to seize the #Chornobyl_NPP. Our defenders are giving their lives so that the tragedy of 1986 will not be repeated. Reported this to @SwedishPM. This is a declaration of war against the whole of Europe.
— Володимир Зеленський (@ZelenskyyUa) February 24, 2022
Sumber: Mirror