Semenjak tercetus ketegangan antara Rusia dan Ukraine baru-baru ini, dunia kini tertumpu kepada pemimpin dua negara seteru tersebut yang bertanggungjawab mentadbir dalam situasi krisis.
Nama Vladimir Putin, pemimpin Rusia yang telah dua kali memegang gelaran presiden ini mungkin sudah tidak asing lagi di telinga masyarakat dunia.
Namun berbeza pula dengan presiden Ukraine, Volodymyr ZelenskyY ini. Siapa sangka, sosok pemimpin Ukraine ini sebelumnya pernah berkecimpung dalam dunia hiburan, sebelum ‘terjun’ ke bidang politik.

Pernah jadi pelawak, berlakon sebagai presiden Ukraine
Zelenskyy yang kini berusia 44 tahun merupakan presiden Ukraine yang keenam dan telah memegang jawatan tersebut sejak tahun 2019.
Beliau telah mendirikan rumah tangga pada tahun 2003 dengan seorang arkitek dan penulis skrip, Olena Volodymyrivna Zelenska dan dikurniakan dua orang anak.
Zelenskyy mendapat pendidikan di peringkat pengajian tinggi di Institut Ekonomi Kryvyi Rih dan merupakan pemegang ijazah dalam bidang undang-undang.
Setelah memperoleh ijazah, Zelenskyy menceburkan diri dalam industri hiburan sebagai kumpulan komedi dan pernah bergelar seorang pelakon.
Zelenskyy turut berlakon dalam filem cereka utama dan bekerja sebagai eksekutif hiburan. Pada tahun 2015, Zelenskyy memegang watak utama sebagai presiden Ukraine dalam siri televisyen popular, Servant of the People.

Menurut iMDB, siri tersebut mengisahkan seorang guru sekolah yang viral setelah mengkritik kerajaan namun diundi sebagai presiden negara itu.
Baik melalui lakonan mahupun sifat asalnya, Zelenskyy lantang mengkritik isu rasuah di Ukraine dan memberi gambaran bagaimana keadaan negara itu sebagai negara demokrasi.

Terpilih sebagai presiden melalui kempen maya
Zelenskyy dikatakan bertanding tanpa sebarang parti politik dan tidak mempunyai pasukan penasihat bertauliah sehingga beberapa hari sebelum pilihan raya berlangsung.
Beliau juga tidak menghadiri sebarang kempen secara bersemuka dan tidak mengadakan perhimpunan. Sebaliknya, Zelenskyy beralih kepada media sosial untuk menempa nama sendiri.
Selepas membuat kemunculan di pelbagai siaran YouTube, Instagram dan tampil di televisyen, Zelenskyy memenangi pilihan raya pusingan pertama.
Semasa kempen presidennya, Zelenskyy dikatakan menaiki kereta kalis peluru jenama Mercedes yang didaftarkan atas nama rakan perniagaan dan pelaburnya, Kolomoisky.
Menurut New York Post, Zelenskyy berhubungan baik dengan jutawan tersebut yang juga merupakan pengasas bersama PrivatBank, iaitu bank komersial terbesar di Ukraine.
Oleh kerana beliau kurang pengalaman dalam politik dan datang dari bidang hiburan, Zelenskyy pernah dijuluki sebagai “Donald Trump Ukraine”, menurut pakar hal ehwal Ukraine di Wilson Center, Washington, Nina Jankowicz.
Dari seroang penutur bahasa Rusia yang dibesarkan di bahagian Timur Ukraine, Zelenskyy ‘berkembang’ menjadi seorang yang lebih nasionalis.

“Beliau mengekalkan kerajaan bersatu tanpa mengikut apa yang Rusia atau Amerika Syarikat mahukan. Berada di tengah-tengah permainan kuasa yang lebih besar, nampaknya beliau tahu apa yang dilakukan. Beliau mengendalikan diri dengan baik,” kata penyelidik Ukraine, Russ Ballant.
Walaupun kebolehannya dalam politik sempat diragui, Zelenskyy sepertinya telah menunjukkan ‘sesuatu’ dalam menangani krisis besar yang kini dihadapi Ukraine dengan Rusia.
Sumber: People, New York Post