Semenjak Rusia melancarkan serangan skala penuh terhadap Ukraine, banyak kerosakan dilaporkan berlaku di Ukraine dan turut melibatkan kehilangan nyawa.
Namun setakat ini, Ukraine dikatakan masih bertahan tanpa bantuan dari negara luar walaupun telah berunding dengan pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Hal ini turut disuarakan presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy melalui sebuah rakaman video yang beredar.
“Hari ini, saya tanya 27 pemimpin Eropah, adakah Ukraine diterima menyertai NATO, semuanya takut, tiada yang menjawab.
“Tapi kami tak takut, kami tak takutkan apa-apa. Kami tak takut pertahankan negara kami. Kami tak takut dengan Rusia. Kami tak takut untuk berunding dengan Rusia,” kata Zelenskyy.
Menurut Zelenskyy, Ukraine sepertinya ‘ditinggalkan’ untuk berjuang sendiri dan tiada yang boleh memberi jaminan negara itu akan bergabung sebagai negara anggota NATO.
“Kami telah ‘ditinggalkan’ sendirian untuk mempertahankan negara kami, siapa yang berani untuk bertempur bersama kami? Saya lihat tiada sesiapa pun.
“Siapa yang bersedia memberikan Ukraine jaminan untuk menyertai NATO? Semua orang takut,” ucap Zelenskyy.
NATO merupakan sebuah perikatan ketenteraan antara 30 negara termasuk 28 negara Eropah, dua negara Amerika Utara dan sebuah negara Eurasia.
Melalui perikatan ini, negara-negara anggota NATO bebas bersetuju untuk saling mempertahankan negara satu sama lain dari tindak balas serangan mana-mana pihak luar.
Sebelumnya, mantan presiden Ukraine, Leonid Kuchma pernah menyuarakan minat negara tersebut untuk menyertai NATO sejak bulan Mei 2002.
Namun menurut Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba, permohonan negara itu untuk menyertai NATO telah tertangguh untuk tempoh yang sangat lama sehingga kini.
“I have asked 27 European leaders whether Ukraine will be in NATO. Everyone is afraid, no one answers.”
Ukraine’s President Zelenskyy says his country has been left alone to fend off Russia’s military incursion pic.twitter.com/MzkwYomhJz
— TRT World (@trtworld) February 25, 2022
Terdahulu, ketika mengisytiharkan operasi ketenteraan khusus ke atas Ukraine, Presiden Rusia, Vladimir Putin sempat memberi amaran agar negara-negara Eropah tidak mencampuri urusan tersebut.
”Kepada sesiapa diluar yang bercadang untuk masuk campur urusan ini, jika kamu berbuat demikian kamu akan berdepan dengan akibat yang sangat dahsyat, lebih teruk berbanding apa yang pernah kamu tempuhi sebelum ini,” katanya dalam satu siaran langsung di Moscow.
Majlis Keselamatan PBB dilapor telah mengadakan mesyuarat tergempar sebaik sahaja Putin membuat pengisytiharan tersebut.
Untuk rekod, Rusia merupakan antara 5 kuasa besar dunia selain Amerika Syarikat, China, United Kingdom dan Perancis. Rusia juga memiliki senjata nuklear terbanyak di dunia. Selain itu, negara ini juga dikatakan memiliki angkatan tentera kedua terkuat di dunia, dibelakang Amerika Syarikat.
Sumber: TRT World, The Conversation, Daily Mail