Siakap Keli
Gambar: mxicodailypost.com

Apa Itu Kuasa Veto & Macam Mana Ia Berfungsi? Kenali Kuasa 5 Negara Ini Untuk Tolak Resolusi PBB

Berikutan isu peperangan yang berlaku antara Russia dan Ukraine sangat membimbangkan dunia. Walaupun pertelingkahan hanya berlaku antara mereka, namun negara-negara lain juga turut merasai bahangnya, terutamanya negara-negara Eropah.

Mana tidaknya, Russia merupakan salah satu negara kuasa nuklear dan memiliki antara angkatan tentera terkuat di dunia.

Apabila timbul apa-apa sahaja isu, khususnya yang boleh mengancam keamanan dunia, PBB atau Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu adalah entiti yang bertanggungjawab untuk memantau isu-isu tersebut.

Misalnya dalam kes Rusia-Ukraine ini, Majlis Keselamatan PBB boleh mengeluarkan satu resolusi untuk mengecam tindakan Rusia melancarkan serangan ke atas Ukraine tanpa sebarang sebab, dan itulah yang dibuat oleh PBB hari ini.

Bagaimanapun, menurut laporan media, resolusi itu tidak berjaya diluluskan selepas diveto oleh Rusia. Walapun mendapat tandatangan dan sokongan puluhan negara, termasuk kuasa dunia seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom, usul berkenaan tidak berjaya hanya kerana satu negara, iaitu Rusia menggunakan kuasa veto miliknya.

Selain diveto Rusia, 3 negara lain iaitu China, India dan Emiriah Arab Bersatu memilih untuk berkecuali daripada mengundi, menurut laporan npr.org.

Walaupun resolusi itu tidak berjaya, namun ia masih dibawa untuk perdebatan dan ahli majlis boleh menyuarakan kecaman masing-masing terhadap Rusia.

Apapun, apakah yang dimaksudkan dengan kuasa veto dan bagaimana ia berfungsi. Ayuh sama-sama kita kupas.

Apa Itu Kuasa Veto

Menerusi makna dalam Kamus Oxford, veto merupakan hak untuk menolak atau membenarkan sesuatu dilakukan, terutamanya hak bagi menghalang sesuatu undang-undang daripada diluluskan atau sesuatu keputusan daripada diambil.

Dalam laporan TRT World, kuasa veto bermakna jika salah satu daripada negara anggota tetap membuat undian negatif dalam keputusan Majlis Keselematan PBB yang belum selesai, resolusi itu tidak boleh diluluskan.

Negara Manakah Yang Memiliki Kuasa Veto

Majlis Keselamatan PBB terdiri daripada 15 ahli iaitu lima ahli tetap (China, Perancis, Russia, Britain dan Amerika Syarikat) dan 10 ahli tidak tetap, lima daripadanya dipilih setiap tahun oleh Perhimpunan Agung untuk tempoh dua tahun.

Berdasarkan ask.un.org, pada asalnya, terdapat 11 ahli Majlis Keselamatan yang terdiri daripada lima ahli tetap dan enam ahli tidak tetap.

Pada tahun 1963, Perhimpunan Agung mengesyorkan pindaan kepada Piagam untuk menambah keanggotaan Majlis Keselamatan yang berkuatkuasa pada 31 Ogos 1965.

Peningkatan keahlian daripada 11 kepada 15 dan mengubah bilangan undi afirmatif yang diperlukan daripada tujuh kepada sembilan.

Corak yang ditetapkan adalah untuk perwakilan geografi seperti berikut:

  1. 5 dari Negara Afrika dan Asia
  2. 1 dari Negara Eropah Timur
  3. 2 dari Amerika Latin
  4. 2 dari Eropah Barat dan Negeri lain

Memetik daripada laporan news9live.com, hanya ahli tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang memiliki kuasa veto dan Russia contohnya pernah menggunakan kuasa vetonya untuk menyokong India mengenai isu Kashmir.

Sejak 1992, Rusia paling kerap menggunakan kuasa veto, diikuti oleh Amerika Syarikat dan China. Sehingga Disember 2021, sebanyak 118 kali yang digunakan oleh Russia, AS 82 kali, UK 29 kali, Perancis 16 kali, dan China 17 kali, lapor TRT World.

Bagaimana Sistem Kuasa Veto Dijalankan PBB

Undi dan Majoriti Diperlukan

Perkara 27 Piagam PBB menyatakan bahawa:

  1. Setiap ahli Majlis Keselamatan mempunyai satu undi.
  2. Keputusan Majlis Keselamatan mengenai perkara prosedur hendaklah dibuat dengan undian afirmatif sembilan ahli.
  3. Keputusan Majlis Keselamatan mengenai semua perkara lain hendaklah dibuat melalui undi afirmatif sembilan ahli termasuk undi persetujuan ahli tetap; dengan syarat bahawa, dalam keputusan di bawah Bab VI, dan di bawah perenggan 3 Perkara 52, pihak yang terlibat dalam pertikaian hendaklah mengelak daripada mengundi.

Hak untuk Veto

Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggap bahawa lima negara iaitu China, Perancis, Kesatuan Republik Sosialis Soviet (USSR) [yang diwarisi Rusia pada 1990], United Kingdom dan Amerika Syarikat, berperanan sebagai kunci dalam penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Jadi, dengan anggapan begitu, kelima-lima negara ini dilihat akan terus memainkan peranan penting dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Kelima-lima negara tersebut telah diberikan status istimewa sebagai Negara Anggota Tetap di Majlis Keselamatan, bersama-sama dengan kuasa mengundi khas yang dikenali sebagai “hak untuk veto”. Ia telah dipersetujui oleh penggubal bahawa jika mana-mana satu daripada lima anggota tetap membuat undian negatif (menggunakan kuasa veto) dalam 15 anggota Majlis Keselamatan, resolusi atau keputusan itu tidak akan diluluskan.

Secara ringkasnya, ia hanya memerlukan satu ahli tetap sahaja menggunakan kuasa vetonya, yang mana menyebabkan resolusi yang hendak dibawa Majlis Keselamatan PBB tidak akan diluluskan, biarpun ahli tetap dan ahli tidak tetap majlis yang lain sebulat suara menyokong resolusi tersebut.

Kesemua lima ahli tetap boleh menggunakan hak veto pada satu masa atau yang lain. Jika ahli tetap tidak bersetuju sepenuhnya dengan resolusi yang dicadangkan tetapi tidak mahu menggunakan kuasa veto, ia boleh memilih untuk berkecuali, sekali gus membenarkan resolusi itu diterima pakai jika ia memperoleh bilangan sembilan undian yang menggalakkan.

Sumber: un.org, ask.un.org, news9live.comoxfordlearnersdictionary.com, TRT World, npr.org

Fathin Nadzira