Penduduk di Pasaman Barat, wilayah Sumatera Barat diminta untuk berwaspada kerana masih kawasan tersebut berpotensi untuk berlaku sekali lagi gempa bumi selepas gempa bermagnitud 6.1 pada Jumaat lalu. Gempa bumi tersebut bukan hanya memusnahkan rumah, malah menyebabkan tanah runtuh di kawasan berbukit di Kecamatan Tigo Nagari, Kabupaten Pasaman.
Terbaru, dua maut dan empat lagi dilaporkan hilang selepas berlaku tanah runtuh di kawasan terbabit. Ini menjadikan jumlah mangsa terkorban akibat gempa bumi meningkat kepada 10 orang.
Menerusi laporan BBC Indonesia, Ketua Pejabat SAR Padang, Asnedi berkata selepas pencarian dilakukan seramai dua mangsa meninggal dunia akibat tertimbus dalam tanah runtuh tersebut. Bagaimanapun, empat lagi masih hilang. Usaha mencari dan penyelamat masih diteruskan sehingga kini.
Menurut beberapa orang keluarga mangsa, ketika kejadian gempa bumi berlaku mangsa dipercayai berada dikebun mereka yang terletak berhampiran bukit berkenaan.
Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) telah mengumumkan keseluruhan angka yang terkorban meningkat kepada 10 orang termasuk dua orang kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun manakala 10 lagi mengalami cedera parah dan 76 penduduk mengalami cedera ringgan termasuk seorang bayi.
Menurut data awal, 300 rumah rosak manakala 7,000 penduduk telah berlindung di beberapa tempat pemindahan yang telah dibina BNPB dan TNI-Polri.
Sumber: Kompastv, BBC Indonesia