Beberapa video yang menunjukkan kereta kebal melanggar kereta warga tempatan dipercayai di Ukraine, tular di media sosial.
Kereta kebal yang datang dari arah bertentangan itu didakwa milik Rusia dan dilihat merempuh sebuah kereta jenis sedan berwarna hitam, lapor Daily Mail.

Memetik laporan Daily Mail, kereta kebal tersebut berkemungkinan adalah 9K35 Strela-10 milik Rusia yang berfungsi sebagai sistem peluru berpandu jarak dekat. Namun, ia belum dapat disahkan.
Menurut Newsweek insiden kemalangan antara kereta kebal dan sedan hitam itu terjadi di bahagian utara ibu kota Kyiv, daerah Obolon.
Memetik Daily Mail, pemandu kereta yang juga seorang warga emas dilaporkan selamat setelah dibantu warga sekitar.
Lelaki tersebut dikatakan tersepit di dalam kereta yang sudah musnah tergilis kereta kebal berkenaan sebelum dibantu sekumpulan lelaki yang menggunakan kapak dan pencungkil untuk mengeluarkan mangsa.

Menurut saksi memetik laporan Mirror, dia melihat dua jentera bersenjata menyusuri jalan berkenaan sebelum kejadian.
“Dua kenderaan bersenjata sedang menyusuri jalan dan kenderaan kedua sengaja meluru ke arah bertentangan,” jelasnya memetik laporan Mirror.
Sumber: Daily Mail, Newsweek, Mirror