Pelakon Thailand terkenal, Tangmo Nida yang jatuh dari sebuah bot ditemui terapung di Sungai Chao Phraya berhampiran jeti Pibul Songkhram 1 di Nothaburi pada Sabtu.
Nama sebenarnya Nida Patcharaveerapong dipercayai terjatuh daripada bot laju pada Khamis lalu.
Abang mangsa, Dayos Detjob yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat telah mengesahkan mayat tersebut adalah adiknya. Dia turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat semasa pencarian selama 38 jam itu.
Penyelamat Yayasan Ruankanyu melaporkan mayat tersebut terapung di sungai sekitar jam 1.10 tengah hari pada Sabtu, kira-kira satu kilometer dari tempat mangsa terjatuh dari bot.
Menerusi laporan media tempatan, mangsa dipercayai duduk di bahagian belakang bot tanpa jeket keselamatan tergelincir jatuh ke dalam sungai kira-kira jam 10 malam berhampiran jeti Pibul Songkram 1.
Menurut laporan, pelakon yang berusia 37 tahun itu bersama lagi lima orang penumpang menaiki bot laju itu dalam perjalanan dari Jambatan Krung Thon di Bangkok ke Jambatan Rama VII di Nothaburi.
Pasukan penyelamat dan penyelam tiba di tempat kejadian pada tengah malam Khamis untuk memulakan pencarian namun keadaan agak sukar kerana ketika itu air sungai deras dan cahaya sangat terhad.
Mayat telah dibawa ke Institusi Pusat Sains Forensik Hospital Universiti Thmamasat untuk bedah siasat tentang punca kematian.
Sumber: Bangkok Post