Siakap Keli

Penduduk Dah Faham ‘SOP’ Banjir, Pindah Ke Tempat Selamat Tanpa Tunggu Arahan

HULU TERENGGANU, 26 Feb (Bernama) – Sudah ‘masak’ dengan dugaan banjir dan memahami prosedur operasi standard (SOP) semasa bencana, mendorong penduduk terlibat banjir di sini, mengambil langkah segera berpindah ke tempat selamat tanpa perlu menunggu arahan daripada mana-mana pihak.

Kebanyakan penduduk didapati akan segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang berdekatan, sebaik sahaja kawasan rumah mula dinaiki air dan bagi Zaitun Mohd Ghazali, 43, dari Kampung Kepah, tindakan itu sekurang-kurangnya dapat memudahkan operasi menyelamat oleh pihak berkuasa.

“Memang banjir kali ini mengejut, sebab berlaku di luar tempoh kebiasaan, musim tengkujuh November hingga awal Januari. Namun, kami telah ‘dilatih’ untuk segera menyelamatkan diri ke PPS berdekatan, jika melihat paras sungai berhampiran rumah mula naik.

“Ada yang datang berjalan kaki, ada yang naik motosikal atau kereta ke PPS dan kami di sini sekampung sudah saling mengenali. Setiap kali berlaku banjir memang sentiasa tolong menolong sepanjang berada di PPS tanpa berasa panik,” katanya ketika ditemui di PPS Kampung Kepah di sini, petang ini.

Seorang lagi penduduk, Junaidah Abdul Aziz, 40, berkata budaya masyarakat kampung yang prihatin antara satu sama lain sentiasa diamalkan sejak dahulu lagi, dan mereka sentiasa akur dengan arahan pihak berkuasa.

“Bila polis, bomba atau Angkatan Pertahanan Awam datang nasihat suruh pindah, kami tidak berlengah. Lama-kelamaan, kita boleh faham bila waktu sesuai hendak berpindah dan apa yang perlu dilakukan di PPS.

“Paling bersyukur sebab Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pemimpin setempat memang sediakan bekalan makanan dan barangan keperluan lain seperti selimut dan khemah untuk tidur, cuma harapan kami agar banjir kali ini segera pulih dan tidak berlarutan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud yang membuat pemantauan banjir di daerah itu, berpuas hati dengan tahap kepatuhan SOP bagi mencegah penularan COVID-19 di PPS.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah akan terus memastikan kebajikan dan keselamatan mangsa, terjaga sepanjang musim banjir,” katanya.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.