Siakap Keli
Kredit: Hello Doktor

Tidak Menggemukkan Badan, Ini Lima Manfaat Nasi Putih Untuk Kesihatan

Nasi sememangnya kaya dengan karbohidrat yang memberikan banyak tenaga kepada seseorang untuk melakukan rutin seharian.

Tetapi bagi mereka yang sedang cuba untuk menguruskan badan, ada yang tidak mengambil nasi dalam menu harian kerana dikatakan boleh menaikkan berat.

Menerusi perkongsian oleh portal kesihatan, Hello Doktor, terdapat lima manfaat nasi putih yang sebenarnya boleh membantu meningkatkan kesihatan seseorang.

Berapakah kalori satu senduk nasi putih?

Kredit: Hello Doktor

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh United States Department of Agriculture National, satu cawan nasi putih (186 gram) yang telah dimasak dan diperkaya mempunyai 242 kalori.

Selain itu, ia mempunyai kandungan karbohidrat sebanyak 53.2 gram dan protein sebanyak 4.43 gram.

Jumlah lemak dan serat dalam nasi putih pula agak sedikit iaitu sekitar 0.56 gram bagi jumlah serat dan 0.39 gram lemak. Ini adalah jumlah kalori dan kandungan nutrisi bagi satu cawan nasi putih.

Bagaimana pula dengan satu senduk nasi putih? Adakah kalori satu senduk nasi putih masih lagi tinggi?

Bagi satu senduk nasi iaitu sekitar 75 gram, kalori nasi putih yang dimilikinya ialah sebanyak 100 kalori.

Namun, jika nasi tersebut dimasak dengan tambahan bahan-bahan lain seperti santan, krim, minyak atau susu, jumlah kalori yang dimilikinya akan berubah dan semakin tinggi.

Sebagai contoh, 100 gram nasi goreng akan memberikan anda 193 kalori dan jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding nasi putih biasa.

Untuk membakar 100 kalori yang telah diambil, anda memerlukan sekurang-kurangnya 10 minit aktiviti berlari atau 15 minit berbasikal.

Kalori satu senduk nasi menggemukkan?

Kredit: Hello Doktor

Ramai yang akan mengelakkan makan nasi putih apabila sedang berada dalam fasa diet atau menguruskan badan.

Ini kerana, mereka menganggap bahawa nasi putih merupakan makanan yang tinggi kalori.

Ramai yang bimbang jika kalori nasi putih boleh menggemukkan mereka.

Sebenarnya, seseorang itu masih boleh makan nasi putih seperti biasa walaupun sedang berdiet. Paling penting ialah mengawal jumlah nasi yang diambil setiap kali anda makan.

Jumlah hidangan yang disarankan bagi setiap hidangan ialah sekitar ¼ pinggan atau suku pinggan anda.

Bagi individu dewasa yang memerlukan 2,000 kalori setiap hari, 100 kalori satu senduk nasi merupakan jumlah yang ideal dengan keperluan tenaga tubuh.

Ini kebaikan makan nasi putih

Walaupun ramai yang mengatakan nasi putih menggemukkan, tetapi nasi putih sebenarnya boleh menjadi sebahagian daripada diet pemakanan yang seimbang.

Kalori nasi putih tidak begitu tinggi jika diambil dalam jumlah yang terkawal.

Selain itu, nasi putih juga mempunyai beberapa kebaikan kepada tubuh anda, dan kebaikan ini kebanyakannya datang daripada kandungan vitamin dan mineral.

Antara kelebihan yang boleh anda dapat apabila memakan nasi putih ialah:

1. Menyokong kekuatan tulang, saraf dan juga otot

Setiap hari, tubuh badan kita memerlukan sekitar 420 mg magnesium, dan nasi boleh membantu memenuhi keperluan ini.

Ini kerana nasi putih mengandungi kandungan magnesium yang agak tinggi.

Magnesium ialah komponen struktur tulang yang membantu dalam tindak balas enzim yang terlibat dalam sintesis DNA dan protein.

Ia juga diperlukan untuk tujuan pengaliran saraf dan pengecutan otot yang betul.

Magnesium juga membantu dalam memberikan anda tidur yang lebih berkualiti.

2. Memberikan tenaga pantas

Bagi individu yang memerlukan lebih banyak tenaga seperti atlet, mereka boleh mendapatkan sumber karbohidrat daripada nasi putih.

Ini kerana, nasi putih memiliki jumlah karbohidrat yang lebih tinggi dan kurang serat.

Disebabkan ia lebih mudah dihadam, maka proses penyerapan tenaga akan menjadi lebih pantas.

3. Nasi putih mudah dihadam

Walaupun kalori nasi agak tinggi, tetapi ia merupakan antara jenis makanan yang mudah dihadam oleh perut.

Berbanding sayuran hijau atau daging, nasi putih lebih mudah dihadam dan tidak memerlukan masa yang lama untuk dicerna.

Oleh itu, nasi putih lebih mudah untuk diberikan kepada mereka yang sedang sakit berbanding jenis makanan lain.

4. Nasi putih tiada gluten, selamat untuk pesakit seliak

Bagi individu yang mempunyai alahan terhadap gluten, nasi putih merupakan pilihan makanan yang selamat buat mereka.

Memandangkan beras putih sangat mudah untuk dijadikan tepung, mi atau roti, tidak hairan ia boleh menjadi alternatif yang sangat murah dan fleksibel kepada pesakit seliak atau mereka yang alah kepada gluten.

5. Meningkatkan kesihatan usus besar

Nasi putih yang telah dimasak dan disejukkan mempunyai kandungan kanji degil yang lebih tinggi.

Kajian menyatakan bahawa, kanji degil ini boleh merangsang pembentukan asid lemak yang membantu mengekalkan kesihatan usus besar.

Asid lemak ini juga membantu mengurangkan risiko kanser kolorektal.

Kredit: Hello Doktor

Kekal aktif agar kalori nasi lebih mudah dibakar

Kini anda telah mengetahui kalori satu senduk nasi putih dan kebaikan nasi putih itu sendiri.

Pengambilan kalori satu senduk nasi putih sudah memadai bagi setiap hidangan anda.

Ini kerana, kalori satu senduk nasi tidaklah begitu tinggi dan tidak akan menggemukkan.

Lakukan aktiviti fizikal atau kekal aktif setiap hari agar kalori dapat dibakar dengan lebih banyak.

Sumber: Hello Doktor

Akhmar Ikmal

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.