Seorang warga emas dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh di Pengkalan Lan, Sungai Galas, Kampung Kuala Gris, petang semalam, lapor Bernama.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad, pihaknya menerima laporan pada jam 10.10 malam semalam daripada anak lelaki mangsa.
Siasatan awal mendapati mangsa, Muhammad Ishak, 70, didakwa pergi ke pengkalan tersebut untuk mengikat sampan selepas air naik kira-kira jam 5 petang.
Namun, selepas dua jam, mangsa didapati masih belum pulang.
“Pada jam 7.30 malam, anaknya ke pengkalan tersebut dan mendapati motosikal dan barang-barang milik ayahnya seperti selipar juga masih berada di tepi sungai namun mangsa tiada,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Tambah Suzaimi, lelaki berkenaan baharu saja keluar dari hospital sekitar hujung tahun lalu dan mengalami komplikasi jantung.
Setakat ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) masih menjalankan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dengan menggunakan kaedah ‘water surface resque’, dibantu penduduk kampung dan bantuan unit anjing pengesan (K9).
Sumber: Bernama, Sinar Harian