Hujan lebat berterusan telah menyebabkan berlakunya banjir teruk di beberapa negeri di Malaysia. Bencana yang tak diduga itu telah memberi kesan kepada manusia sehingga boleh membawa kepada risiko kematian.
Selain kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa, bencana banjir juga boleh menyebabkan penyakit berjangkit. Hal ini kerana banjir yang berlaku akan menyebabkan sampah sarap serta takungan najis keluar bersama-sama limpahan air. Sampah sarap dan sisa najis ini bertaburan di merata-rata tempat sehingga mengakibatkan pelbagai jenis penyakit berjangkit.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi akaun rasmi Twitter turut mengingatkan mangsa-mangsa banjir agar sentiasa berwaspada dengan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh banjir seperti demam kepialu, kolera, leptospirosis, konjunktivitis, hepatitis A dan juga demam denggi.
Mari ikuti perkongsian oleh HelloDoktor tentang penyakit bawaan banjir ini.
Penyakit bawaan banjir
- Demam Kepialu
Demam kepialu disebabkan oleh bakteria Salmonella Typhi yang terdapat dalam air minuman dan makanan yang tercemar. Penyakit ini berhubung secara langsung dengan air yang tercemar. Simptom penyakit ini adalah sakit kepala, kehilangan selera makan, demam tinggi dan cirit-birit. Oleh itu, elakkan makanan jalanan atau daripada mana-mana tempat yang tidak bersih.
- Kolera
Sama seperti demam kepialu, kolera disebabkan oleh bakteria yang dikenali sebagai Vibrio Cholera yang tersebar di dalam air minuman dan makanan. Lalat adalah pembawa penyakit ini. Simptom kebiasaan dialami adalah sakit pinggul dan muntah. Oleh itu, selain memakan makanan yang bersih dan dimasak, anda juga perlu mencuci tangan dan bekas makanan sebaiknya.
- Leptospirosis

Tidak seperti demam kepialu dan kolera, ia adalah satu jangkitan yang boleh tersebar terus daripada air yang tercemar. Leptospirosis disebabkan oleh bakteria Leptospira yang terdapat dalam air kencing haiwan seperti tikus, lembu dan kerbau. Jangkitan berlaku melalui luka yang terbuka atau melalui kulit yang berada di dalam air banjir dalam tempoh yang panjang atau membran mukus mata dan mulut.
Simptom penyakit ini adalah sejuk berserta sakit kepala, demam, sakit otot, jangkitan mata (merah dan berair). Jika penyakit ini tidak dapat dikesan tepat pada masanya, pesakit mungkin akan koma. Oleh itu, elakkan terlalu banyak berjalan dalam air banjir. Pakai kasut getah setiap kali anda perlu berjalan di dalam air. Manakala berenang di dalam air banjir adalah dilarang sama sekali.
- Konjunktivitis

Penyakit konjunktivitis (sakit mata) juga antara penyakit yang kerap terjadi ketika banjir, ia mudah merebak dengan cepat melalui perkongsian alat-alat peribadi seperti tuala, bantal dan sapu tangan serta bergaul rapat dengan orang yang sakit mata. Malah penyakit yang disebabkan kuman (bakteria atau virus) atau alahan itu adalah radang pada bahagian putih mata.
Antara gejala sakit mata ialah mata merah, berair dan pedih; discaj tahi mata yang berlebihan, mata terasa gatal dan mata sensitif terhadap cahaya.
Untuk itu, langkah pencegahan yang patut diamalkan adalah sentiasa mencuci tangan menggunakan sabun dan air bersih selepas menyentuh mata dan sebarang permukaan, elakkan bergaul dengan orang yang sakit mata dan jangan berkongsi barang peribadi.
- Hepatitis A
Keradangan sel hati menyebabkan hati berfungsi dengan tidak normal. Virus yang menyebabkan keradangan ini adalah hepatitis A. Penyakit ini disebabkan oleh makanan yang tidak bersih atau tidak dimasak. Simptom biasa yang dialami oleh pesakit adalah demam ringan, kehilangan selera makan, sakit perut dan mata kuning. Oleh itu, bagi mengelakkan penyakit ini semasa banjir, makan makanan yang bersih dan dimasak, dan jangan berkongsi gelas minuman yang sama dengan orang lain.
- Demam Denggi

Demam denggi adalah disebabkan oleh jangkitan virus aedes aegypti. Ia adalah penyakit biasa pada musim hujan akibat nyamuk. Beberapa simptom penyakit ini adalah hilang selera makan, muntah, sakit otot, kulit kemerahan, dan bintik-bintik darah pada kulit. Sebaiknya, gunakan krim dan semburan untuk mengelakkan gigitan nyamuk.
Sumber: HelloDoktor