Siakap Keli
ukraine dibom rusia
Gambar Hiasan via NBC News

Markas Tentera Ukraine Dibom Rusia, Sekurang-kurangnya 70 Terbunuh

Sebuah pangkalan tentera Ukraine di Okhtyrka, bandar antara Kharkiv dan Kyiv, dilapor telah dibom tentera Rusia. Serangan itu menyebabkan sekurang-kurannya 70 askar terbunuh lapor New York Post.

Dmytro Zhyvytskyy, Timbalan Menteri Infrastruktur Ukraine, menyiarkan gambar bangunan empat tingkat yang hangus. Pasukan penyelamat dipercayai masih lagi mencari mangsa dalam runtuhan.

Kemudian, selain pangkalan tentera Ukraine yang dibom, beliau berkata ramai askar Rusia dan beberapa penduduk tempatan turut terbunuh semasa pertempuran pada Ahad lalu.

Laporan itu tidak dapat disahkan dengan segera.

Kawasan orang awam didakwa dibom

Dalam perkembangan berbeza, Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kubala, mendakwa Rusia terus menyasarkan kawasan orang awam dalam serangan terbaharunya.

Melalui perkongsian video yang dibuat beliau di laman Twitter, bom berkenaan dilapor menghentam kawasan Central Freedom Square yang sering dipenuhi orang awam.

Dalam rakaman yang dikongsikannya, beberapa buah kereta kelihatan melalui kawasan tersebut sebelum dihentam sebutir misil yang menyaksikan bebola api meletus ke udara.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan sama ada insiden berkenaan menyebabkan berlakunya kematian.

BACA: Letupan Dahsyat, Detik Bom Rusia Didakwa Hentam Kawasan Orang Awam Di Ukraine

Terdahulu, Vladimir Putin mengisytiharkan satu operasi khusus yang digelar sebagai ‘Misi Pengaman’ dimana tentera Rusia telah dikerah ke dua wilayah Timur Ukraine, iaitu Donetks dan Luhanks di Donbass.

Kedua-dua wilayah tersebut dikuasai oleh kumpulan pemisah pro-Rusia yang mana baru-baru ini telah mengisytiharkan kemerdekaan. Putin dan Rusia turut mengiktiraf kemerdekaan tersebut.

Tindakan Putin mengerahkan askarnya ke Ukraine menyebabkan banyak pihak terutamanya dunia barat mengambil tindakan mengenakan sekatan ekonomi ke atas Rusia.

Alasan Putin menyerang Ukraine

Dunia barat menyifatkan tindakan Putin itu sebagai agresif dan langsung tidak mempunyai sebab. Putin menggariskan dua alasan mengenai tindakan yang diambilnya.

Alasan pertama adalah kerana pemimpin pemisah pro-Moscow telah meminta bantuan kerana mendakwa Ukraine akan menyerang wilayah mereka.

Kedua, untuk melindungi rakyat di Donbas yang dipercayai menjadi sasaran gangguan ugutan ‘pembunuhan beramai-ramai’ oleh kerajaan Ukraine sejak 8 tahun lalu.

Bagaimanapun, alasan yang diberikan oleh Rusia telah dinafikan sendiri oleh Presiden Ukraine.

Sumber : New York Post

Fathin Nadzira