Seorang remaja perempuan dilaporkan sempat khatam al-Quran sebelum maut dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza di Jalan Guar Petai, Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.
Memetik laporan Utusan, mangsa yang dikenali sebagai Khadijah, 17, itu merupakan anak perempuan kepada mudir sebuah madrasah tahfiz di Padang Serai, Kedah.
Difahamkan, mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan itu maut dalam kemalangan kira-kira pukul 8 pagi tadi.
Insiden itu berlaku apabila kenderaan dari arah Guar Petai, Tasek Gelugor ke arah Sungai Dua, Butterworth tersebut hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar sebatang pokok di tepi jalan.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kepala Batas (HKB) di sini bagi urusan bedah siasat manakala empat indvidu lain yang cedera dikejarkan ke hospital sama bagi rawatan lanjut.
Ahli keluarga mangsa yang masih terkejut dengan kejadian itu dikatakan enggan ditemu bual oleh pemberita buat masa ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmah mengesahkan kejadian tersebut.
Sumber: Utusan