Siakap Keli
Kredit : Melaka Hari Ini

Bukan Lagi Bukit St Paul, Kini Bukit Melaka Kembali Dikenali Dengan Nama Asalnya

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Siapa yang tidak kenal sejarah kegemilangan Melaka. Walaupun sudah berkurun lama, namun masih melekat lagi bagaimana negeri yang kecil ini menjadi gah di mata dunia suatu ketika dahulu.

Dari peristiwa kewujudan Melaka sehinggalah sejarah penjajahan pertama Tanah Melayu ke tangan Portugis, banyak monumen peninggalan yang masih kekal di sana untuk dilawati oleh setiap pengunjung, tidak kira dari dalam mahupun luar negara.

Melalui perkongsian di laman web Melaka Hari Ini, Bukit St Paul, salah satu lokasi ikonik di Melaka kini akhirnya kembali dikenali dengan nama asalnya, Bukit Melaka.

Kata Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Mohd Nasruddin Rahman, pihaknya sudah pun memasang papan tanda pengenalan atau papan arah menamakannya sebagai Bukit Melaka.

Pemasangan papan tanda tersebut adalah untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pelancong yang berkunjung di negeri tersebut.

“Memang nama asalnya ialah Bukit Melaka yang dinamakan sewaktu zaman kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.”

“Namun, nama tersebut telah ditukar memandangkan ia berdekatan dengan gereja St Paul semasa zaman penjajahan,” tambahnya semasa dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Menurut laporan, sudah banyak pihak yang mengemukakan cadangan kepada Perzim untuk menukar nama asal bukit tersebut.

Jelasnya lagi, terdapat kumpulan yang membantah usul tersebut dan beranggapan bahawa penukaran nama itu akan menjejaskan lokasi atau kedudukan gereja St Paul di situ.

“Mereka anggap perubahan nama bukit itu akan menukarkan sekali nama gereja di situ.”

Tambahnya lagi, tiada apa-apa isu yang timbul dan pihaknya telah mengembalikan nama asal Bukit St Paul kepada Bukit Melaka.

Menurutnya, Perzim telah melengkapkan kertas kerja untuk menukarkan nama asal Bukit Melaka dan tindakan kelulusan kerajaan negeri nanti.

“Cadangan menukar nama Bukit Melaka ini sudah dibawa ke pengetahuan kerajaan negeri, cuma tinggal untuk mewartakan nama asalnya sahaja.”

Sumber : Melaka Hari Ini

Fathin Nadzira