Siakap Keli
Gambar : cnbc.com

Chelsea Sedia Untuk Dijual, Roman Abramovich Pertimbang Terima Bidaan

Pemilik Chelsea, Roman Abramovich sedang mempertimbangkan untuk menjual kelab berpangkalan Stamford Bridge itu, menurut laporan Daily Express.

Abramovich bersedia untuk menerima tawaran untuk Chelsea pada akhir minggu ini, dengan sekurang-kurangnya tiga pihak berminat untuk membeli The Blues. Pembeli berpotensi percaya bahawa jutawan itu bersedia untuk menjual kelabnya buat kali pertama.

Berdasarkan laporan Daily Mail, Abramovich berdepan ancaman sekatan berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine minggu lalu.

Pemilik kelab yang berusia 55 tahun itu telah pun cuba menyerahkan urusan harian Chelsea kepada yayasan kebajikan kelab itu.

Menurut laporan, beliau berbuat sedemikian sebagai usaha untuk meletakkan jarak antara dirinya dan Chelsea tetapi pemegang amanah masih belum menerima cadangannya, dengan beberapa orang mempertimbangkan untuk berhenti.

The Telegraph mendakwa bahawa pihak yang berminat untuk membeli kelab London barat percaya bahawa itu adalah langkah pertama daripada Abramovich dan bercadang untuk menjual kelab tersebut.

Tawaran bidaan itu didakwa akan disampaikan kepada Abramovich minggu ini tetapi ia berkemungkinan boleh berubah jika dia menerima sekatan.

Chelsea sentiasa mengekalkan kelab itu bukan untuk dijual tetapi Telegraph berkata Abramovich dikatakan tidak mempunyai pilihan lain.

Memetik daripada laporan Daily Mail, beliau sebelum ini telah menolak tawaran pembelian daripada pembiaya AS, Todd Boehly yang bernilai kurang daripada £3 billion (RM16.76 bilion).

Selain itu, Chelsea juga didakwa mempunyai hutang £1.51bilion (RM8.44 bilion) dengan pemilik kelab.

Sumber :Daily Express, Daily Mail

Fathin Nadzira