Seorang wanita berusia 40 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas dibunuh oleh abang kandungnya sendiri.
Mayat mangsa ditemui mati dalam karung guni di sebuah paya di Bungo, Jambi. Wanita yang berusia 40 tahun itu difahamkan merupakan seorang janda.
Ketua Polis Bungo, AKBP Guntur Saputro berkata, motif tertuduh membunuh adiknya adalah kerana mangsa dianggap telah mengaibkan keluarga.
“Tertuduh mengikuti mangsa sejak keluar rumah. Tertuduh menetak mangsa beberapa kali di tempat yang sunyi”, menurut rekod polis.
Sebelum pembunuhan itu berlaku, tertuduh dan mangsa dilaporkan sering bergaduh.
Mangsa dan tertuduh sebelum ini pernah tinggal bersama di sebuah pondok di kawasan ladang. Suspek menuduh mangsa sering keluar bersama lelaki lain dan menganggap perbuatan mangsa itu telah memalukan keluarga mereka.
“Padahal tuduhan itu tidak pernah dibuktikan. Tertuduh tidak pernah melihat mangsa keluar dengan lelaki lain”, kata Guntur.
Menurut rekod polis, tertuduh pernah dimasukkan ke penjara atas kes cabul.
Tertuduh yang berada dalam keadaan beremosi, segera membunuh mangsa dan membungkus mayat adiknya itu dalam karung guni sebelum mencampakkan mayat mangsa ke dalam paya.
Mayat mangsa dilaporkan telah ditemui pada Ahad, 20 Februari yang lalu.
Pihak polis telah menahan tertuduh di Jangkat, Kabupaten Merangin pada Jumaat, 25 Februari lalu.
Seorang saksi tampil memaklumkan bahawa mangsa ada memberitahu dia ingin tidur dirumah adiknya di Dusun Siskaper, Daerah Jujuhan pada 3 Februari. Namun sejak dari itu, saksi tidak pernah lagi melihat mahupun berhubung dengan mangsa.
Mayat mangsa ditemui seminggu kemudian oleh penduduk kampung yang mendakwa melihat karung guni putih terapung di atas air.
Ketika ditemui, mayat mangsa berada di dalam paya dan dipenuhi dengan lumpur dan semak. Keadaan mayat mangsa telah membusuk dan organ kaki kanan mangsa hanya tinggal tulang.
Sumber: Tribunnews