Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization –WHO) ‘pandemic fatigue’ atau dikenali keletihan akibat pandemik ini merupakan salah satu bentuk kehilangan motivasi untuk melakukan perkara yang disaran.
Individu dengan pandemic fatigue dikatakan hilang motivasi untuk melindungi diri mereka sendiri dan orang lain daripada virus.
Masalah ini muncul mengikut beberapa tingkah laku yang berbeza. Oleh itu, anda dinasihatkan untuk mengetahui beberapa tingkah laku yang menunjukkan anda mengalami ‘keletihan pandemik’ ini dan beberapa langkah untuk mengatasi masalah tersebut.
Menerusi perkongsian dari Kesihatan Mental Kebangsaan Kerajaan Australia (Australia Government, National Mental Health Commission), terdapat 11 tingkah laku yang menunjukkan bahawa individu tersebut mengalami ‘Pandemic Fatigue’.
11 tingkah laku itu adalah seperti berikut:
- Kepenatan
- Kekecewaan
- Kurang bertenaga
- Keresahan
- Kemurungan
- Sentiasa berputus asa
- Kesukaran menantikan hari esok
- Ketakutan
- Tidak mahu bersama orang
- Peningkatan tahap penggunaan alkohol atau bahan berisiko yang lain
- Kurang bersemangat terhadap perkara yang anda biasa lakukan.
Menurut badan kesihatan itu, keletihan pandemik ini boleh diatasi atau dicegah dengan beberapa cara berikut:
- Kenal pasti masalah dan cuba untuk mengamalkan strategi penjagaan diri yang rapi dan bersesuaian dengan anda.
- Bagi kanak-kanak, pastikan mereka berkomunikasi. Cuba amalkan memberitahu kanak-kanak bahawa merasai kebimbangan dalam diri itu perkara biasa dan galakkan mereka untuk bercakap.
- Cuba untuk lakukan aktiviti mengeluarkan peluh. Bersenam salah satu cara untuk mengatasi masalah kesihatan mental.
- Meluahkan. Bagi mereka yang suka memendam perasaan, adalah lebih baik untuk anda mencari tempat untuk meluahkan.
- Ikut fakta yang dikeluarkan oleh mana-mana sumber yang sahih.
- Berehat. Lakukan seberapa banyak perkara yang anda suka sebelum ini.
Turut diingatkan, jika anda mengalami sebarang masalah tekanan perasaan anda boleh cuba untuk bercakap dengan seseorang yang anda percayai. Antara sumber yang boleh anda rujuk untuk meluahkan perasaan adalah keluarga, sahabat rapat atau mana-mana talian perkhidmatan yang menawarkan khidmat kaunseling.

Sumber: Australia Government, National Mental Health Commission