Seorang suspek kes rogol kanak-kanak dilaporkan maut selepas dipukul beramai-ramai oleh banduan di dalam lokap, lapor Tribun News.
Kejadian tersebut dikatakan berlaku beberapa jam selepas dia dimasukkan ke dalam lokap di Kabupaten Mamuju Tengah, Sulawesi Barat.
Memetik laporan Tribun News, lelaki yang berusia 40 tahun itu disahkan meninggal dunia di hospital, dengan beberapa kesan lebam ditemui pada badannya.
Difahamkan, insiden itu bermula selepas lelaki itu ditahan di lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah Mamuju pada Sabtu lalu. Ketika ditahan, dia berada dalam keadaan yang sihat namun beberapa jam kemudian ditemui telah meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Mamuju Tengah, AKBP Amri Yudhi telah mengesahkan kejadian tersebut.
Menurutnya, pihaknya kini sedang menyiasat mengenai kematian tersebut dan telah menyoal siasat 15 orang saksi.
“Seramai 12 daripada 15 orang tahanan yang disiasat menjadi suspek dalam kes kematian ini,” katanya.
Tambahnya lagi, pihaknya berjanji akan menyiasat kejadian tersebut secara menyeluruh.
“Ini menjadi bahan introspeksi untuk kami pada masa akan datang, kami akan menilai mekanisme keselamatan di lokap supaya kes serupa tidak berulang lagi,” ujarnya.
Sementara itu, keluarga mangsa yang masih terkejut dengan kejadian itu mempersoalkan kenapa mangsa meninggal dunia. Sebelum ini mereka percaya bahawa mangsa akan dilindungi ketika berada dalam tahanan.
“Kenapa ianya berlaku dengan sangat cepat. Ketika ditahan mangsa berada dalam keadaan sihat dan polis sendiri memberi jaminan mangsa akan selamat dan dilindungi di pejabat polis, tetapi akhirnya dia meninggal dunia di situ,” kata salah seorang ahli keluarga mangsa.
Difahamkan bahawa, sebelum ditahan, ibu bapa mangsa telah memohon pihak polis untuk tidak menyeksa anak mereka di balai polis.
Sehubungan dengan itu, keluarganya dengan rela hati telah menyerahkan suspek selepas mendapat jaminan daripada polis bahawa suspek akan selamat di dalam tahanan.
Keluarganya kemudian terkejut apabila mengetahui bahawa suspek telah meninggal dunia.
Sumber: Tribun News