Dipercayai baru sahaja menghantar anak lelaki ke sekolah untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), seorang pemandu lori dilaporkan maut dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 6, Jalan Machang-Pasir Puteh, awal pagi Rabu.
Memetik laporan Sinar Harian, mangsa, Zainudin Ab.Samat, 56, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy berkata mangsa menghantar anaknya di pintu pagar sekolah tersebut dan terus melintas dari kiri ke kanan jalan untuk kembali ke lorinya dalam kejadian yang kira-kira berlaku pada jam 7.20 pagi.
“Akibat jarak yang terlalu dekat, sebuah kenderaan jenis Volvo dipercayai gagal mengelak hingga berlaku pelanggaran sehingga menyebabkan mangsa tercampak dan terjatuh di lokasi kemalangan.
“Mangsa tidak sedarkan diri disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, pemandu kereta Volvo berusia 54 tahun dikatakan tidak mengalami sebarang kecederaan dan saringan ujian kencing juga negatif.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Sinar Harian