Sebuah helikopter Romania dilaporkan telah terhempas dan tujuh orang dipercayai terkorban dalam kejadian yang berlaku pada Rabu, lapor Express.co.
Difahamkan, helikopter IAR-330 Puma itu sedang menjalankan misi mencari sebuah jet pejuang, MiG-21 LanceR yang hilang daripada radar sebelum ditemui terhempas 11 kilometer dari lapangan terbang.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Negara, Contantin Spanu berkata punca nahas itu masih belum diketahui.
Menurutnya, tujuh anggota tentera yang berada di dalam helikopter tersebut termasuk dua Tentera Laut Romania telah disahkan meninggal dunia.
Terdahulu, Menteri Pertahanan Negara, Vasile Dîncu mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter tersebut.
“Hari ini adalah hari yang menyedihkan untuk keluarga Tentera Romania.
“Krew helikopter IAR 330-Puma dalam misi mencari dan menyelamat pesawat MiG 21 LanceR ditemui mati di kawasan Gura Dobrogei, kira-kira 11 km dari aerodrome. Saya mengucapkan takziah kepada keluarga yang ditinggalkan.
“Pencarian juruterbang pesawat MiG 21 LanceR masih diteruskan,” katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan juga telah memaklumkan bahawa menara kawalan terputus sambungan dengan helikopter tersebut dan ia hilang daripada radar sekitar jam 8.44 malam.
“Juruterbang telah melaporkan keadaan cuaca buruk dan telah diarahkan untuk kembali ke pangkalan,” kata kementerian itu.
Sementara itu, nasib pesawat MiG-21 LanceR masih menjadi tanda tanya sehingga kini.
Pesawat itu dikatakan telah berlepas dari Pangkalan Udara Mihail Kogălniceanu 57 pada jam 7.50 malam dan terputus hubungan dengan menara kawalan pada 8 malam.
Ini merupakan insiden penerbangan paling serius yang melibatkan pesawat tentera yang berlaku di Romania sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Sumber: Express.co