Seorang isteri dilaporkan telah menikam zakar suami dengan menggunakan lembing kerana berang mangsa tidak memasak untuk makan malam dan sebaliknya keluar minum bersama rakan-rakan dalam kejadian pada 3 Mac.
Memetik laporan Newsflare, wanita berusia 43 tahun itu baru pulang dari kerja di ladang sebagai pemungut tebu dan mengharapkan ada nasi di atas meja rumahnya di Buriram, timur laut Thailand.
Bagaimanapun, dia berang setelah mendapati bahawa suaminya telah keluar dengan rakan-rakan untuk minum dan terlupa untuk memasak makanan untuknya.
Dia dipercayai telah menunggu suaminya pulang ke rumah dan tidak teragak-agak untuk terus menikam zakar suaminya. Si suami mendakwa bahawa isterinya kemudian ‘memusingkan lembing’ itu seperti ikan yang diheret ke darat.
Dalam keadaan mabuk, mangsa tidak menyedari tahap kecederaan yang dialaminya dan pergi ke rumah ibunya. Keesokan harinya dia telah bangun dalam kesakitan dan telah pergi ke Hospital Lahan Sai untuk mendapatkan rawatan.
Difahamkan, dia telah menerima 17 jahitan pada kemaluannya.
“Saya mabuk ketika pulang ke rumah dan isteri saya marah kepada saya kerana tidak memasak nasi. Dia bekerja sepanjang hari dan saya terlupa.
“Saya telah berkahwin dengan isteri selama 21 tahun, dia seorang wanita yang sangat cerewet. Kami bergaduh ketika itu dan dia mengambil lembing yang bersandar di dinding dan menikam kemaluan saya.
“Ia tidak begitu menyakitkan dan hanya berasa sedikit kebas tetapi keesokan harinya ia terasa sangat menyakitkan sehingga saya perlu pergi ke hospital.
“Dia menikam zakar saya dengan alat itu dan memulasnya seperti ikan sebenar,” kata lelaki itu.
Tambahnya lagi, dia tidak akan pulang ke rumah buat masa ini sehingga keadaan kembali tenang.
“Saya takut dia mengulanginya untuk kali kedua, saya masih sayangkan isteri saya dan tidak berniat untuk menyamannya,” ujarnya.
Pun begitu, isterinya pula mendakwa bahawa dia mempunyai perangai buruk dan mereka sentiasa bergaduh apabila lelaki itu mabuk.
“Bercakap secara baik dengannya bukanlah penyelesaian. Saya sudah penat bekerja di ladang tebu, jadi apabila dia menjadi ganas saya hanya memegang kemaluannya dan memulasnya,” kata wanita itu.
Sementara itu, tidak ada pihak yang membuat aduan kepada pihak polis mengenai kejadian tersebut.
Sumber: Newsflare