Siakap Keli
Gambar hiasan via Bernama

Bilakah Ujian Pantas RTK-Ag & RT-PCR Tunjuk Keputusan Positif? Ramai Keliru, Ini Jawab KKM

Bagi mereka yang mengalami simptom Covid-19 atau menjadi kontak rapat, tidak lagi perlu bersusah payah ke klinik atau pusat rawatan untuk melakukan ujian swab kerana ia kini boleh dilakukan secara kendiri.

Namun, kadang-kadang timbul juga tanda tanya, sebenarnya berapa lamakah ujian RTK-Ag dan RT-PCR ini menunjukkan keputusan positif jika seseorang itu dijangkiti Covid-19?

Bagi merungkai kekeliruan ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menjelaskan tempoh sebenar keputusan positif bagi kedua-dua ujian saringan tersebut.

“Ujian RTK-Ag biasanya boleh mengesan jangkitan pada hari ke-3 hingga hari ke-7 selepas seseorang terdedah kepada pesakit COVID-19.

“Manakala ujian RT-PCR boleh mengesan jangkitan seawal hari ke-2 hingga hari ke-14 selepas dijangkiti.

“Justeru itu, ketepatan ujian RTK-Ag dan RT-PCR adalah bergantung kepada tempoh jangkitan sewaktu sampel diambil,” maklum KKM dalam satu perkongsian di Facebook hari ini.

Tambah KKM, ujian RTK-Ag disarankan kepada mereka yang bergejala dan berada dalam kumpulan berisiko tinggi sekiranya tidak bergejala.

“KKM telah meluluskan penggunaan RTK-Ag sebagai suatu kaedah alternatif pengujian COVID-19 selain RT-PCR.

“Namun, ujian RT-PCR masih merupakan gold standard bagi mengesan jangkitan COVID-19,” tambah perkongsian itu.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pernah menjawab persoalan mengenai keputusan RTK yang didakwa berubah-ubah serta dikatakan tidak dapat ‘mengesan’ virus.

Dalam satu kenyataan menerusi sidang media beberapa minggu lalu, Khairy menjelaskan bahawa ujian PCR akan memberi keputusan kepada kes-kes yang mempunyai kadar efektiviti yang rendah.

“Sebab tu kalau pergi ujian PCR, dia (individu yang tertular) masih lagi positif. Dia tidak lagi dalam tempoh yeng kebolehjangkitannya tinggi.

“RTK ni, ia kurang sensitif berbanding PCR. Jadi sekiranya RTK yang kita beli yang diiktiraf oleh NPA, kita berpandangan bahawa ia memadai.

“Kalau dia (individu) efektif, dia akan positif dengan ujian RTK. Kebanyakan kit ujian RTK yang bagus akan kesan. Jadi kita boleh lagi menjangkiti orang lain dan perlu diisolasi,” katanya dalam satu sidang media ketika itu.

Sumber: KKM

Faiz Mustafa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.