Polis dilaporkan telah menahan dua lelaki yang menyamun seorang anggota Korps Wanita Angkatan Tentera Darat Indonesia (KOWAD) di Kutai Kartanegara, Kalimantan Timur.
Kedua-duanya difahamkan menyamun ketika mangsa sedang tidur di kediamannya pada Jumaat, 25 Februari awal pagi.
Ketua Unit Siasatan Jenayah, AKP Dedik Santoso berkata, kedua-dua suspek ditahan pasukan Satreskrim Alligator Polis Kutai Kartanegara.
Dedik berkata, dua suspek yang masing-masing berusia 27 tahun itu memasuki rumah mangsa yang terletak di Desa Timbau, Tenggarong sekitar jam 4:30 WITA.
Mereka berjaya masuk ke dalam rumah itu selepas mengintip tingkap di kediaman mangsa.
Dua suspek itu menyelinap masuk ketika mangsa sedang tidur. Mangsa kemudian diugut oleh kedua-dua suspek menggunakan sebilah parang dan memintanya untuk menanggalkan pakaiannya, namun mangsa melawan.
“Akhirnya kedua-dua suspek melarikan diri dengan hanya membawa sejumlah wang, barang kemas dan telefon bimbit mangsa”, kata Dedik Santoso.
Tidak lama kemudian, suspek telah berjaya ditahan oleh pihak polis selepas mangsa melaporkan ciri-ciri mereka.
Berdasarkan hasil siasatan, kedua-dua suspek merupakan residivis (penjenayah yang melakukan kesalahan jenayah berulang kali setelah menjalani hukuman penjara).
Sebelum ini, kedua-dua suspek telah dibebaskan dari penjara pada tahun 2021 atas kesalahan jenayah yang sama. Kedua-duanya mengenali antara satu sama lain dan bertemu di penjara.
“Selepas mereka keluar, mereka melakukan jenayah bersama-sama. Modus operandi mereka adalah melakukan kecurian dengan kekerasan dan menggunakan senjata tajam”, kata Dedik.
Kedua-dua suspek telah didakwa dengan Perkara 365 Kanun Jenayah dan Perkara 368 Kanun Jenayah dengan hukuman penjara selama sembilan tahun.
Sumber: Kompas