Seorang suspek bagi sebuah kes curi tumpas diberkas polis gara-gara seekor kambing yang muncul sebagai ‘hero’ bantu polis dalam satu operasi baru-baru ini, lapor The Mirror.
Menurut The Mirror, kambing bernama Gracie itu memainkan peranan penting membantu dua timbalan syerif dalam mengesan suspek yang melarikan diri dengan berjalan kaki di kawasan Fieldale, Georgia.
Situasi bermula apabila timbalan syerif iaitu David Parnell terserempak dengan suspek pada 13 Februari lalu ketika dia sedang menyiasat satu kes berkaitan serangan domestik di sana.
Difahamkan, pada ketika itulah pegawai berkenaan mula mengejar suspek dan dalam masa sama, seekor kambing di situ secara tiba-tiba turut serta menyertai mereka mengejar suspek.
Bagaimanapun Parnell tidak mampu mengejarnya gara-gara terhalang oleh pagar.
Namun si kambing bernama Gracise itu berjaya melintasi pagar berkenaan dan terus mengejar suspek hingga ke dalam hutan.
Tidak lama selepas itu, Parnell mendapati bahawa rakan setugasnya yang dibantu Gracise telah berjaya menangkap suspek terbabit.
Ibu Pejabat Syerif Daerah Henry menyiasat kes berkenaan dan mereka mengucapkan terima kasih kepada Gracise kerana bantuan ‘beraninya’ berjaya membantu mereka menangkap suspek.
Kambing ‘hero’ bernama Gracise itu kemudiannya dipulangkan semula kepada pemiliknya selepas kes tersebut selesai.
Sumber: Kompas.com & The Mirror