Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken memaklumkan bahawa anggota NATO telah mendapat kebenaran untuk menghantar jet pejuang ke Ukraine dalam usaha untuk membantu negara itu mempertahankan diri daripada pencerobohan Rusia, lapor CBS News.
Menurutnya dalam satu temu bual, langkah itu telah mendapat ‘lampu hijau’.
“Malah, kami sedang bercakap dengan Poland mengenai apa yang kami boleh lakukan untuk memenuhi keperluan mereka jika mereka sebenarnya memilih untuk menyediakan jet pejuang ini kepada Ukraine,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Rumah Putih pula memberitahu bahawa pentadbiran Joe Biden sedang menilai keupayaan yang boleh disediakan untuk mengisi semula jet ke Poland jika negara itu memutuskan untuk memindahkan pesawat ke Ukraine.
Namun terdapat juga beberapa persoalan yang timbul daripada keputusan untuk berbuat demikian, termasuk bagaimana jet itu boleh dipindahkan dari Poland ke Ukraine.
Duta Ukraine ke AS, Oksana Markarova pula berharap Ukraine akan menerima jet pejuang dari Poland secepat mungkin.
“Kami sedang bekerjasama dengan AS dan rakan sekutu mengenai bekalan tetap semua peluru dan anti-udara, anti-kereta kebal dan pesawat untuk dapat mempertahankan negara kami dengan berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, AS dan sekutu Eropah telah memberikan bantuan ketenteraan dan kemanusiaan kepada Ukraine serta mengenakan sekatan menyeluruh ke atas institusi kewangan terbesar Rusia, oligarki Rusia dan pegawai tertinggi di Moscow, termasuk Presiden Vladimir Putin sendiri dan Menteri Luar, Sergei Lavrov sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyekat negara itu daripada sistem kewangan global.
Terdahulu, Blinken yang berada di Eropah timur bertemu dengan sekutu AS dan berkata bahawa negara NATO dan anggota Kumpulan 7 ‘bekerja bersama’ untuk meningkatkan tekanan ke atas Rusia, termasuk melalui sekatan tambahan yang akan dilaksanakan dalam beberapa hari akan datang.
“Kesan sekatan itu sudah dahsyat, pasaran saham mereka ditutup selama hampir seminggu.
“Kami melihat kemelesetan berlaku di Rusia, pengguna tidak dapat membeli produk asas kerana syarikat melarikan diri dari Rusia, jadi ia memberi kesan yang besar,” katanya.
Sumber: CBS News