Sebuah helikopter Rusia dilaporkan telah diletupkan dari langit oleh tentera Ukraine sebelum meletup dan terhempas menjadi seperti ‘bola api’ di padang, lapor Mirror.
Rakaman luar biasa yang tular di media sosial itu menunjukkan helikopter rusia tersebut sedang terbang melintasi sebuah kawasan sebelum peluru berpandu dilihat bergerak ke arahnya. Ia kemudian meletup dan terhempas ke padang.
Ada yang mendakwa bahawa helikopter Rusia itu ialah Kamov Ka-50 ‘Black Shark’, yang juga dikenali sebagai ‘werewolf’.
Ia merupakan helikopter yang mempunyai tempat duduk tunggal dan digambarkan sebagai helikopter tempur berprestasi tinggi dengan keupayaan siang dan malam, kebolehmandirian tinggi dan kuasa tembakan untuk mengalahkan sasaran udara dan kereta kebal berperisai berat yang dilengkapkan dengan senjata pertahanan udara.
Tidak kurang juga ada yang mendakwa helikopter itu adalah Mi-24 iaitu helikopter tempur besar yang dihasilkan oleh Loki Helikopter Mil Moscow dan telah dikendalikan sejak 1972 oleh Tentera Udara Soviet.
Sementara itu, laman Facebook rasmi Jabatan Komunikasi Strategik Pejabat Panglima Angkatan Tentera Ukraine mengesahkan serangan itu dalam satu kiriman pada 5 Mac lalu.
“Sejam yang lalu, sebuah lagi helikopter Angkatan Tentera negara penceroboh itu ditembak jatuh. Terima kasih kepada pasukan peninjauan udara untuk video bagi operasi ini,” kata jabatan itu.
Dalam pada itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky baru-baru ini menyerang pemimpin NATO kerana keengganan mereka untuk melaksanakan zon larang terbang ke atas negara itu.
“Semua orang yang mati mulai hari ini juga akan mati kerana kamu, kerana kelemahan kamu, kerana kekurangan perpaduan kamu,” katanya.
Gencatan senjata
Pada Sabtu lalu, Rusia telah mengisytiharkan gencatan senjata dengan Ukraine dan pembukaan koridor kemanusiaan untuk mengeluarkan orang awam dari Mariupol dan Volnovakha.
Koridor kemanusiaan yang diwujudkan bagi membolehkan orang awam meninggalkan dua bandar tersebut yang ketika ini berada dalam zon konflik turut dipersetujui Ukraine.
Perkara berkenaan turut diumumkan oleh penasihat kepada ketua Pejabat Presiden Ukraine, Mykhailo Podoliak menerusi akaun Twitternya.
Dalam masa sama, Putin memberitahu Canselor Jerman, Olaf Scholz bahawa pusingan ketiga rundingan akan dijadualkan pada hujung minggu ini.
Sumber: Mirror