JOHOR BAHRU, 8 Februari 2022 – PETRONAS telah menyampaikan sumbangan kepada 3,040 buah keluarga yang terjejas akibat banjir di Johor, Melaka, dan Negeri Sembilan menerusi siri aktiviti pemulihan banjir yang berlangsung sejak Disember 2021 dan berterusan sehingga kini.
Dengan kerjasama unit dan anak syarikat dalam kumpulan PETRONAS di Wilayah Selatan, termasuk Yayasan PETRONAS, bantuan bekalan makanan, bekalan penjagaan kebersihan diri, dan barangan bantuan lain bernilai RM343,000 telah diagihkan melalui 10 Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri tersebut.
Melalui cabang tanggungjawab sosial korporatnya, Yayasan PETRONAS, 1,800 keluarga telah dibekalkan dengan bekalan asas, termasuk air mineral, selimut, biskut, ubat gigi, berus gigi, cecair pembasmi kuman, topeng muka, dan tisu pembasmi kuman. Usaha ini adalah sebahagian daripada program Sentuhan Kasih Bantuan Bencana yang dilaksanakan di seluruh negara.
Pada bulan Januari, Bahagian Pelaksanaan Projek dan Teknologi PETRONAS bersama-sama PETRONAS Wilayah Selatan telah menyampaikan bantuan yang sama untuk membantu 900 buah keluarga di Melaka dan Johor melalui PKOB Jasin, PKOB Muar dan PKOB Tangkak.
Selain itu, bantuan turut disalurkan oleh anak syarikat PETRONAS, Malaysian Refining Company Sdn Bhd (MRCSB), dengan bantuan pekerja dan rakan kongsinya, termasuk trak, kenderaan pacuan empat roda dan peralatan pembersihan ke kawasan terjejas di Kampung Puom dan Kampung Chennah di Jelebu.
Di Melaka dan Negeri Sembilan, melalui pengusaha stesen minyaknya, PETRONAS Dagangan Berhad telah mengagihkan bekalan makanan, peralatan pembersihan, pakaian, bantal dan selimut kepada 300 buah keluarga yang berada di enam pusat pemindahan sementara (PPS).
Sazli Zakaria, Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Selatan berkata: “Adalah menjadi harapan kami agar sumbangan ini dapat meringankan beban keluarga-keluarga yang terjejas supaya mereka dapat meneruskan aktiviti harian mereka secepat mungkin. Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua sukarelawan yang telah membantu kami mendekati seterusnya menyampaikan sumbangan kepada para mangsa banjir ini.”
Menurut Sazli, sumbangan itu adalah sebahagian daripada RM25 juta komitmen PETRONAS dalam usaha bantuan banjir untuk negara. Beliau juga berkata melalui Yayasan PETRONAS di bawah program Sentuhan Kasih Bantuan Bencana, PETRONAS akan bekerjasama rapat dengan NADMA dan badan bukan kerajaan lain untuk mengenal pasti keperluan masa hadapan mangsa mangsa banjir di selatan dan juga di negeri-negeri lain.
Program Sentuhan Kasih adalah sebahagian daripada bidang tumpuan kesejahteraan dan pembangunan masyarakat Yayasan PETRONAS. Program ini juga sejajar dengan Agenda Kelestarian PETRONAS dan Matlamat Pembangunan Lestari PBB.