Siakap Keli
Gambar: Che An

“Wujudkan Suasana Agama Dalam Setiap Keadaan…”, Lelaki Kongsi Amalan & ‘Realiti’ Kehidupan Harian Keluarga Tabligh

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Kepada mereka yang tidak tahu, tabligh merupakan satu kelompok ‘penyampai’ yang giat menyebarkan ajaran agama, perintah Allah SWT serta sunnah Baginda Rasulullah SAW.

Pada masa sekarang ini, kita dapat lihat betapa ramai insan yang mengambil keputusan untuk ‘berhijrah’ dengan menyertai golongan tabligh ini, rata-ratanya termasuk golongan selebriti.

Namun, pernahkah sejenak kita berfikir bagaimana sebenarnya kehidupan harian seorang tabligh dari Subuh hingga ke dinihari?

Menerusi perkongsian daripada akaun Facebook seorang tabligh, Che An, beliau kongsikan kehidupan dan perjalanan amalan seorang tabligh seperti yang diamalkannya sendiri.

Ikuti perkongsian beliau yang telah kami sertakan di bawah. Semoga bermanfaat.

“Che An, ini ajaran mana pulak ni keluar dakwah 3 hari, 40 hari, 4 bulan, setahun ni?”

Gambar: Che An

Tuan… Ini hanyalah latihan iman tuan. Sebab iman kita lemah, ulama minta kita belajar iman dalam tempoh yang singkat-singkat. Iman ni kena dilatih dan diusahakan.

Sebagaimana ladang dan perniagaan perlu diusahakan, begitulah dengan iman.

Ladang yang tidak diusahakan akan kurang memberi manafaatnya. Akan tumbuh semak samun. Akan masuk segala binatang merbahaya. Begitu lah dengan iman. Iman yang tidak diusahakan akan tumbuh macam² bidaah. Akan masuk bermacam² kepercayaan.

Sedangkan untuk mendapatkan dunia yang sementara ini pun kita sanggup bersusah payah. Dari tadika hingga masuk U. Siang malam pagi petang sanggup belajar…belajar…belajar. Korbankan diri, masa dan harta, takkanlah untuk akhirat tempat kembali yang kekal abadi ni nak berkira.

Para-para sahabat nabi dulu, mereka korbankan seluruh diri harta dan masa untuk agama. Bila jemaah-jemaah dibentuk dan dihantar berdakwah, mereka tidak akan balik selagi seluruh negara yang mereka pergi tidak masuk Islam.

Kita kalau nak jadi askar pun ada masa dan tempoh latihan tertentu sebelum layak jadi askar. Kalau nak jadi cikgu pun ada latihan tertentu sebelum layak jadi cikgu. Kalau nak jadi doktor pun ada latihan tertentu sebelum layak jadi doktor.

Nak jadi arkitek, engineer, businessman atau apa sahaja pun mesti melalui latihan-latihan tertentu.

Tuan-tuan, hari ini, ulama cuma minta 10% dari masa kita untuk agama. Kenapa masa? Kerana setiap orang mempunyai masa yang sama. 24 jam sehari.

Sifirnya begini:-

  • 10 % dari masa kita setiap hari adalah 2 jam setengah.
  • 10 % dari masa kita setiap bulan adalah 3 hari.
  • 10 % dari masa kita setahun adalah 40 hari.
  • 10 % dari masa sepanjang hidup adalah 4 bulan.

Tapi ini tertib awal-awal usaha dakwah bermula. Sekarang ulama minta kita tambah korban.

  • Dari 2 jam setengah sehari ke arah 8 jam sehari.
  • Dari 3 hari sebulan ke arah 10 hari setiap bulan.
  • Dari 40 hari setahun ke arah 4 bulan setiap tahun.
  • Dari 4 bulan & setahun ke arah hijrah battah (terus tinggal tetap di tempat keluar)
  • Khidmat 10 hari hingga 1 bulan di markaz.
  • Bentuk jemaah dari mohalla (masjid/surau) sendiri dan hantar ke seluruh dunia.

Amalan di setiap rumah orang Islam perlu sama dengan amalan di masjid. Amalan di masjid perlu sama dengan amalan Masjid Nabawi di zaman nabi s.a.w.

  • Di masjid ada dakwah, di rumah ada dakwah.
  • Di masjid ada taalim, di rumah ada taalim.
  • Di masjid ada ibadah, di rumah ada ibadah.
  • Di masjid ada khidmat, di rumah ada khidmat.
Gambar: Che An

Wujudkan suasana agama dalam setiap keadaan. Libatkan anak-anak dan isteri/wanita (masturat) supaya sama-sama amal agama.

Dalam bayan Ijtima Langkawi semalam, Bai Syarip Nizamuddin bagi tahu, masturat yang tidak libatkan diri sama-sama dalam kerja dakwah, Allah tak jamin hidayat.

Oleh itu, usaha ke atas Masturat (wanita) ini penting kerana ia menentukan kedudukan keturunan kita. Bilangan wanita lebih ramai maka usaha ini lebih penting berbanding usaha keatas lelaki.

Pentingnya usaha ke atas Masturat, walaupun seorang lelaki itu baik tapi jika isterinya tidak ambil bahagian dalam usaha ini nescaya tiada bantuan ke atas keturunannya.

Sebagai contoh isteri Nabi Nuh عليه السلام. Walaupun ia buat dakwah apabila isteri tidak ambil agama maka keturunannya juga tidak ambil agama.

Begitu juga dengan kisah Nabi Luth عليه السلام isterinya tidak ambil usaha dalam kerja ini maka isterinya, anak-anaknya & seluruh kaum yang ingkar dibinasakan oleh Allah dengan azab.

Satu contoh lagi Nabi Ibrahim عليه السلام baginda miliki 2 orang isteri, apabila kedua dua isterinya ambil bahagian dalam usaha agama maka seluruh keturunannya dalam rahmat Allah, dari keturunan Ibrahim عليه السلام ini lahirnya keturunan Nabi Nabi عليه السلام sehingga lahirnya Isa عليه السلام & Rasulullah ‎ﷺ‎‬

Satu lagi contoh yang paling hampir dengan kita ialah Rasulullah ‎ﷺ‎‬

Rasulullah ‎ﷺ‎‬ hidup tak lama tapi keturunan Rasulullah ‎ﷺ‎‬ terpelihara kerana apa? Kerana seluruh isteri isteri Rasulullah ‎ﷺ‎‬ juga ambil agama.

Kita semua juga kena ada niat & azam yang kuat untuk libatkan isteri isteri kita dalam usaha agama. Inshaa Allah.

Gambar: Che An

Oleh itu kita kena usaha pastikan setiap rumah Islam di kawasan kita ada hidupkan majlis taklim di rumah rumah mereka. Rumah kita sahaja hidup taklim masih tidak mencukupi.

Begitu juga masa kita keluar di jalan Allah, dalam taskil kita kena bagi fikir & fadhilat taklim rumah, di samping kita khususi kita kena ada taskil hidupkan taklim di rumah mereka, sediakan isteri kita yang hadir taklim mingguan untuk taskil wanita wanita lain hidupkan taklim di rumah mereka.

Hendaklah hidupkan taklim di rumah kita dengan niat bahawa ini perintah Allah, kerana Allah berfirman “Wahai orang beriman kamu hendaklah selamatkan diri kamu dari azab api neraka”.

Bagaimana hendak selamatkan diri kita & ahli keluarga kita dari azab Allah? Oleh itu kena hidupkan majlis taklim dirumah kita. Taklim ini adalah pintu untuk hadirkan diri pada perintah perintah Allah melalui firman Allah & sabdaan Rasulullah ‎ﷺ‎‬

Perintah Allah ‎‎‎سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى dalam menghidupkan taklim. “Hendaklah kamu memberi peringatan terhadap mereka yang terdekat (ahli keluarga kita)”.

Baca kitab Fadhilat Amal & Muntakab Hadis. Baca gilir gilir, selepas taklim buat muzakarah 6 sifat sahabat. Pada penutup taklim kita buat taskil. Taskil bagi lelaki adalah gash & taskil bagi wanita adalah taklim mingguan.

Kita kena faham bahawa taklim ini makanan rohani kita, rumah tanpa taklim rohani kita lemah, seluruh perintah Allah akan jadi lemah bagi kita.

Pekara mudah pun kita tiada kekuatan nak lakukan. Walaupun kita ada tangan dan kaki kita tak mampu jalan dan capai jika tak makan apa apa, begitulah bagi rohani tak makan. Penting hidupkan taklim dirumah kita hari-hari, jika perintah Allah itu penting bagi kita maka hidupkan taklim rumah jauh lebih penting dari itu.

Satu lagi amalan yang penting adalah taklim mingguan masturat, pastikan maksima 40 buah rumah ambil bahagian untuk satu taklim mingguan Masturat, paling kurang 15-20 buah rumah hadir satu taklim mingguan masturat.

Gambar: Che An

Bawa dalam mesyuarat harian kita, untuk putuskan amal semasa taklim mingguan (siapa yang baca kitabi, siapa buat muzakarah). Pastikan setiap rumah kita ada ambil bahagian hidupkan taklim mingguan masturat. Libatkan wanita wanita tempatan untuk hadir dalam taklim mingguan masturat.

Taklim mingguan masturat ini adalah sunnah Rasulullah ‎ﷺ‎‬. Pada zaman Rasulullah ‎ﷺ‎‬ para wanita bermesyuarat untuk dengar setiap sabdaan Rasulullah ‎ﷺ‎‬ mereka bertemu dengan Aisyah رضي اللّٰه عنه. Mereka minta untuk duduk dalam majlis taklim Rasulullah ‎ﷺ.

Rasulullah ‎ﷺ‎‬ telah tetapkan setiap minggu untuk wujudkan taklim mingguan bagi para wanita islam saat itu. Rasulullah ‎ﷺ‎‬ sampaikan sabdaan secara terus kepada mereka dalam majlis tertutup.

Melalui usaha taklim rumah akan wujudkan fikir daie pada para wanita kita, jika kita lalai atau sambil lewa pada usaha, para wanita kita ini akan betulkan kembali fikir risau kita, mereka akan jadi pembantu terbaik dalam usaha agama ini.

Masturat ini aset yang penting bagi lelaki, mereka punyai sifat istiqamah yang jauh lebih hebat daripada lelaki.

Zaman Rasulullah ‎ﷺ‎‬ tak ada wanita murtad berbanding lelaki. Wanita punya taskil tak perlu usaha panjang panjang macam lelaki, mereka hanya cakap beberapa patah perkataan sahaja suami mereka dah terkesan.

Abu Talahah berubah apabila Ummu Sulaim cakap hanya beberapa patah perkataan sahaja Abu Talahah terus berubah dan masuk islam.

Ummu Sulaim berkata “Fikir kamu & fikir aku tidak sama, kamu menyembah pokok sedangkan aku menyembah Allah yang menciptakan pokok & seluruh alam,” kata-kata ini telah mengubah Abu Talahah kepada Islam.

Bagaimana kita bentuk diri kita untuk keluar di jalan Allah kita juga kena sediakan wanita wanita kita untuk keluar dijalan Allah 3 hari, 10 hari & 2 bulan bersama kita (Jemaah Masturat).

Usaha Masturat ini penting maka usaha masturat ini kena keluar ikut tertib.

Mengapa perlu ikut tertib? Apabila Allah beri kefahaman pada kita & isteri, Allah akan beri ujian pada kita.

(Rujuk kisah Ummu Salamah)

Apabila Rasulullah ‎ﷺ‎‬ dalam kesedihan (kisah perjanjian hudaibiyah) Ummu Salamah beri dorongan dan kata kata nasihat, cadangan ini telah mengubah semangat Rasulullah ‎ﷺ‎‬. Rasulullah ‎ﷺ‎‬ dapat fikir daripada kata kata semangat isterinya untuk teruskan dakwah keatas para sahabat رضي اللّٰه عنه .

Wanita apabila dapat usaha mereka punyai kelebihan yang kita sendiri tidak mampu capai, Allah bentuk mereka sebagai sokongan bagi kita dalam usaha. Maka penting libatkan mereka dalam usaha ini.

Contoh tertib 3hari masturat, apabila kita berjaya jaga tertib sempurna selama 3hari mereka sendiri akan ingatkan kita untuk sediakan mereka bagi tertib khuruj 10hari.

BACA JUGA: Pengalaman Jadi Isteri Orang Tabligh, Suami Keluar 4 Bulan, “Dia Beli Stok Makanan Penuh Almari, Freezer”

Faiz Mustafa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.