Siakap Keli
Gambar: Sinar Harian

Kejam, Rakaman Kucing Kena Jerut Tular, Ganjaran RM5 Ribu Ditawarkan Bagi Individu Yang Tampil Beri Maklumat

Ganjaran wang tunai sebanyak RM5,000 akan ditawarkan oleh Kelab Sahabat Kucing Jalanan Pahang (SKJP) kepada saksi mahupun individu yang memberikan maklumat berkaitan kes kekejaman terhadap seekor kucing.

Memetik akhbar Sinar Harian, pengerusi kelab tersebut, Jurina Abdul Rani berkata, pelaku itu telah bertindak kejam dengan menjerut serta menggantung haiwan berkenaan di pagar sebuah rumah.

“Saya difahamkan bangkai kucing malang itu ditemui di sebuah rumah di Taman Tas Ria berdasarkan perkongsian daripada video yang tular itu.

“Jadi, saya mohon dan merayu saksi kejadian supaya tampil menghubungi persatuan untuk menyalurkan maklumat lengkap dan kita akan berikan ganjaran kepada mereka”, katanya.

Satu video berdurasi 20 saat tentang penemuan bangkai kucing yang dijerut dan digantung pada pagar sebuah rumah telah tular di media sosial.

Menerusi video itu, kedengaran suara seorang lelaki yang bertanyakan berkenaan siapakah tuan kepada kucing itu.

Penyaluran maklumat tentang kejadian tersebut diharap dapat membantu pihak berkuasa untuk menangkap pelaku agar didakwa serta dijatuhkan hukuman.

Mana-mana saksi atau pengadu tentang kejadian tersebut tidak perlu risau kerana kerahsiaan mereka dijamin sepenuhnya dan diharap ada yang tampil memberi kerjasama.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada persatuan menerusi Facebook rasmi kelab SKJP”, katanya.

Sumber: Sinar Harian

Aireena Marizan

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.