Bulan puasa hampir tiba, mesti ramai yang nak turunkan berat badan. Tetapi, tak lupa juga ada yang sedang menghadapi masalah susah nak naik berat badan. Sudah pasti mereka mahu kelihatan ‘fit’ apabila memakai baju raya nanti.
Kunci utama untuk naikkan berat badan adalah makan lebih kerap. Namun, sudah pasti ia tidak dapat dilakukan secara optimum. Jadi, macam mana nak tambah berat badan semasa berpuasa?
Ikuti perkongsian dari HelloDoktor di bawah ini untuk mengetahui cara menambah berat badan dengan lebih efektif pada bulan puasa nanti.
Kenapa berat badan akan turun di bulan puasa?
Bulan Ramadan adalah waktu di mana semua umat Islam di seluruh dunia berpuasa penuh selama 30 hari tanpa makan dan minum dari terbit sehingga tenggelam matahari.
Ketika ini juga, ramai orang yang percaya dan perasan bahawa akan ada perubahan dalam aspek berat badan mereka sama ada ia meningkat atau menurun secara mendadak.
Jika berat badan anda turun, maka ia mungkin normal memandangkan tubuh badan anda terpaksa membakar sumber lain seperti lemak serta gula sebagai tenaga.
Ini kerana anda tidak makan atau minum dengan banyak dan kerap pada waktu ini.
Pun begitu, mungkin tidak semua orang mahu jadi kurus di bulan puasa ini. Jadi, sangat penting untuk anda tahu apa dia menu diet tambah berat badan ketika Ramadan.
Menu diet tambah berat badan di bulan puasa!
Kuncinya adalah terletak kepada apa yang anda makan serta minum di waktu sahur dan iftar dalam usaha untuk elak berat badan berkurangan, malahan mahu meningkatkan berat badan.
Berikut adalah beberapa cadangan atau saranan menu yang mungkin anda perlu pertimbangkan:
Menu diet tambah berat badan paling utama
#1. Nasi
Nasi adalah antara makanan ruji masyarakat kita yang merupakan salah satu sumber kalori dan karbohidrat yang utama. Ia sudah tentu akan membantu menambah berat badan.
Ia sudah tentu tidak sukar memandangkan kita semua pasti akan makan pelbagai jenis nasi seperti nasi putih, nasi lemak nasi goreng dan sebagainya ketika bersahur atau beriftar.
#2. Daging merah
Daging merah yang berasal daripada lembu, kambing, kerbau dan lain-lain haiwan merupakan antara sumber utama protein dan lemak yang mampu meningkatkan jisim otot badan.
Di dalam 100 gram daging merah, sekurang-kurangnya terkandung 17.5 gram protein, 22 gram lemak serta 273 kalori yang mungkin akan membantu menambah berat badan anda.
Pun begitu, pengambilannya dengan cara yang tidak terkawal mungkin boleh jadi punca pelbagai jenis penyakit kronik. Jadi, sila dapatkan informasi dan nasihat daripada doktor.

#3. Produk tenusu
Siapa kata anda tidak boleh ambil produk tenusu semasa sahur dan iftar? Untuk pengetahuan anda semua, susu itu tinggi dengan protein, lemak, karbo, vitamin dan mineral penting.
Menurut Journal of the International Society of Sports Nutrition, susu daripada hasil haiwan ini adalah antara jenis makanan atau minuman yang boleh bantu meningkatkan berat badan.
Jika tidak gemar dengan susu segar, tiada masalah untuk ambil alternatif produk tenusu yang lain seperti yogurt, keju dan sebagainya di bulan puasa asalkan ia tepat kuantiti dan kualitinya.
#4. Telur
Sebenarnya, salah satu daripada jenis makanan untuk gemuk yang mudah, murah dan sihat adalah telur kerana ia kaya dengan pelbagai nutrisi termasuk protein dan lemak sihat.
Jadi, selepas ini anda juga mungkin boleh cuba pelbagai jenis resepi masakan telur seperti goreng atau rebus sebagai menu diet tambah berat badan di bulan puasa kelak.

#5. Kurma
Siapa sangka buah yang cukup popular di bulan Ramadan ini juga merupakan antara menu yang boleh anda ambil sebagai hidangan dalam usaha untuk meningkatkan berat badan.
Menurut Nutrition Journal, buah-buahan yang telah dikeringkan seperti kismis, zaitun atau kurma ini adalah tinggi dengan kalori selain pelbagai lagi nutrisi dan agen antioksidan.
Apa yang lebih menarik adalah rasanya sangat lazat dan manis kerana ia juga sangat kaya dengan kandungan gula semula jadi yakni fruktosa dan sukrosa yang sihat untuk ambil.
Jadi, usah lagi anda pening mahu makan apa apabila tiba waktu sahur dan iftar nanti jika ingin tambah berat badan ya? Segera cari dan beli makanan dan minuman di atas di pasar raya untuk stok Ramadan nanti!
Sumber: HelloDoktor