Seorang pemandu lori telah dikenakan perintah reman tiga hari setelah dipercayai terlibat merempuh sembilan penunggang motosikal dari arah belakang, lapor Astro Awani.
Insiden itu dilaporkan berlaku di Sungai Petani, tepatnya di Kilometer 92.8, Lebuhraya Utara Selatan kira-kira jam 2.40 petang semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, kemalangan tersebut telah mengakibatkan dua orang mangsa berusia 28 dan 31 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Enam lagi mangsa dilaporkan cedera sementara tiga individu termasuk pemandu berusia 28 tahun dan kelindan lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jelas Adzli, kesembilan mangsa itu berada di sisi motosikal masing-masing yang diletakkan di lorong kecemasan secara dua barisan ketika kejadian berlaku.
Oleh kerana kawasan berkenaan dilanda hujan lebat, kesemua mangsa berteduh di bawah jejambat sebelum sebuah lori bergerak ke lorong kiri lalu merempuh mereka dari arah belakang.
Tambah Adzli memetik laporan Astro Awani, ujian saringan air kencing dan alkohol ke atas pemandu serta kelindan lori mendapati kedua-duanya bebas dari pengambilan bahan berkenaan.
Majistret Nurul Ainna Ahmad di Mahkamah Sungai Petani telah mengeluarkan perintah reman terhadap pemandu lori tersebut bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sumber: Astro Awani