Siakap Keli
Guru
Gambar Via Cikgu Haini

(Video) Kenali Cikgu Haini, Guru Sekolah Rendah Yang Jadikan YouTube Sebagai Pelan Pencen

Setiap permulaan pasti akan ada pengakhirannya. Sama juga dengan tugas seorang guru, bila tiba masanya setiap guru perlu bersara mengikut had yang telah ditetapkan.

Namun jangan pula tidak tahu bahawa kebanyakan guru kebiasaannya mempunyai pelbagai pelan selepas bersara. Bak kata peribahasa, mereka seperti lipas kudung yang sentiasa ingin bekerja dan tidak boleh duduk diam.

Ada sesetengah guru yang merancang untuk berniaga dan ada juga yang menyertai aktiviti sukarelawan dan kemanusiaan serta melakukan pelbagai lagi perkara menarik yang boleh mengisi masa lapang.

Sama seperti seorang guru dari Kuching, Sarawak ini yang telah meneroka minat baharu sebagai persediaannya untuk bersara pada tahun hadapan.

Mengajar selama 36 tahun

Berkongsikan kisahnya kepada SK, Cikgu Haini Hamlin yang telah mengajar selama 36 tahun di beberapa buah sekolah di sekitar Sarawak memilih untuk menerbitkan video di YouTube.

Ketika dihubungi, Cikgu Haini berkata dia mula tertarik untuk membuat video di Youtube ketika menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) yang memperuntukkannya untuk mengajar dengan teknik yang lebih menarik dan interaktif, secara dalam talian.

Ketika itu, pelbagai video pembelajaran yang menarik dimuat naik olehnya sehingga menambat hati pelajarnya termasuk video pengajaran tatabahasa dan sajak Hari Malaysia.

“Amatlah kekok pada mulanya kerana dulu mengajar secara berhadapan dan sekarang bercakap di hadapan kamera,” katanya.

Menurutnya, idea untuk menerbitkan video timbul setelah dia memikirkan mengenai pelan setelah pencen. Dibantu oleh anaknya, Seph Haini, mereka telah menerbitkan beberapa video menarik.

Runsing fikir pendapatan lepas pencen

“Tamatlah lembaran hidup saya sebagai seorang cikgu pada tahun 2023 nanti, tetapi saya runsing memikirkan aktiviti serta pendapatan setelah berpencen nanti.

“Terdapat statistik melaporkan bahawa kebanyakan duit simpanan para pesara bakal berkurangan dalam tempoh lima tahun pertama dan realiti tersebut menyedarkan saya,” ujarnya.

Berkat usahanya itu, Cikgu Haini telah mendapat perhatian Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Difahamkan, kedua-dua pihak itu bersepakat untuk memperluaskan perjalanan kerjaya YouTube Cikgu Haini melalui Dana Kandungan Digital PRISMA.

Dengan adanya sokongan daripada pihak-pihak tersebut, Cikgu Haini telah menerbitkan siri “Cobaan” di Youtube. Ia akan memaparkan pelbagai aktiviti yang dilakukan olehnya di sekitar Kuching.

Dari cubaan bersilat Spring 12 di Pantai Damai yang panas hinggalah menjadi Pak Tambang di Kuching Waterfront, “Cobaan” masih lagi ditayangkan hampir setiap minggu di YouTube.

Hasil suntikan dana yang diperolehi itu juga membolehkannya untuk memantapkan penerbitan video dengan adanya pembantu logistik, penyunting dan pengurus media sosial.

Jumlah subscribers dan tontonan di saluran YouTube tersebut juga masih berkembang.

Jadi inspirasi kepada rakan-rakan

“Selain daripada mengharapkan pendapatan pasif setelah pencen, saya ingin memberikan inspirasi kepada rakan sebaya saya yang kebanyakannya ahli penjawat awam  yang senior serta yang sudah pencen untuk menjadikan YouTube sebagai sumber pendapatan pasif.

“Tambahan pula, saya percaya ramai di antara mereka yang mempunyai cerita, pengalaman mahupun bakat untuk dikongsi kepada semua.

“Saya ingin lihat semua berjaya dan bahkan lebih bahagia setelah mereka pencen nanti. Saya pun masih menunggu keputusan jika saya dibenarkan untuk memberi makanan kepada buaya di episod akan datang,” katanya.

Sementara itu, anaknya berkata bahawa dia ingin mendokumentasikan bakat yang ada pada bapanya.

“Selain pelan pencen, saya nak dia dokumentasi bakatnya seperti silat, pengacara majlis, kadi kahwin dan sebagainya,” katanya.

Tambahnya lagi, video tersebut juga diharapkan dapat menginspirasikan rakan sebaya beliau yang senior untuk kekal aktif dan produktif.

Sumber: Bersama Cikgu Haini

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.