Pelukis terkenal, Mohd Yusof Ismail atau lebih dikenali sebagai Yusof Gajah dilaporkan telah meninggal dunia di kediamannya di Kajang pada awal pagi Rabu, lapor Astro Awani.
Allahyarham yang berusia 68 tahun dipercayai meninggal dunia dalam tidur dan disedari oleh isterinya pada awal pagi tadi.
Berita pemergian Allahyarham telah dimaklumkan oleh Persatuan Seni Rupa Malaysia (PeRUPA) di Facebook.
Sementara itu, jenazahnya akan dikebumikan di kampungnya di Negeri Sembilan.
Terdahulu, Yusof memaklumkan bahawa dirinya positif COVID-19 pada 6 Mac.
Sepanjang kariernya, Allahyarham pernah menghasilkan buku The Real Elephant yang diterjemahkan ke pelbagai bahasa.
Dilahirkan di Johol, Negeri Sembilan, Allahyarham juga mendapat perhatian melalui karya naif dan abstrak yang banyak menonjolkan imej gajah.
Pelbagai anugerah yang pernah dimenangi olehnya termasuk dari Majlis Buku Negara bagi buku bergambar terbaik dan anugerah Noma Concours (ACCU) bagi ilustrasi.
Sumber: Astro Awani