Siakap Keli
Gambar: Bernama

Solat Jemaah Rapat Saf, Berita Baik Untuk Menyambut Ramadan – Menteri Agama

Susulan pengumuman Perdana Menteri berkaitan Fasa Peralihan Ke Endemik bermula 1 April 2022 dan solat jemaah rapat saf, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memaklumkan bahawa pihaknya menyambut baik pengumuman itu dan ia merupakan berita gembira untuk umat Islam yang bakal menyambut Ramadan nanti.

Menterinya, YB Senator Datuk Haji Idris Bin Haji Ahmad berkata ia adalah terjemahan kepada kejayaan usaha-usaha kerajaan bagi menangani krisis kesihatan COVID-19 selain kerjasama erat daripada Keluarga Malaysia.

Katanya, pengumuman Perdana Menteri berkaitan aktiviti solat jemaah di masjid atau surau boleh solat rapat saf adalah sesuatu yang amat dinantikan oleh umat Islam.

“Pengumuman ini dibuat berasaskan fakta dan data, juga setelah mengambil kira pelbagai faktor termasuk penilaian risiko daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pandangan yang dikemukakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Ia adalah berita gembira buat umat Islam untuk menyambut bulan Ramadan nanti.

“Walaubagaimanapun, pelaksanaan perkara ini dan SOP akhir untuk masjid atau surau tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri-negeri,” katanya.

Beliau juga berharap agar institusi masjid dan surau terus dimakmurkan dengan aktiviti ibadah, majlis dan halaqah ilmu serta lain-lain program pembinaan modal insan dan kemasyarakatan.

Tambahnya lagi, umat Islam diseru untuk terus berdoa serta bermunajat agar rakyat dan negara terus dipelihara daripada sebarang kemudaratan dan bencana.

“Adalah dicadangkan kepada masjid dan surau untuk terus mengadakan solat hajat bagi memohon kesejahteraan dan keselamatan buat rakyat dan negara,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan bahawa aktiviti keagamaan tidak lagi perlu melaksanakan penjarakan fizikal termasuk solat berjemaah di masjid atau surau bermula 1 April.

Ia merupakan salah satu daripada perubahan yang dilakukan oleh kerajaan berikutan peralihan ke fasa endemik nanti.

Sumber: Idris Ahmad

Sofea

There's always another side to every story