Siakap Keli

Tak Terhitung Jasa Perwira, 305 Unit ‘Fully Furnished’ RKMAT Kem Segamat Dibina, Sedia Untuk Dihuni Anggota ATM

Mempunyai rumah sendiri yang selesa merupakan impian ramai orang, apatah lagi yang sudah berkeluarga. Lebih manis sekiranya rumah tersebut sudah mempunyai pelbagai perabot yang lengkap sama ada dari segi keperluan bilik atau peralatan elektrik seperti kipas dan lampu. Mungkin itulah keterujaan yang akan dirasai oleh anggota Tentera Darat apabila ‘Fully Furnished’ RKMAT Kem Segamat telahpun dirasmikan baru-baru ini.

Jasa dan pengorbanan mereka untuk negara sememangnya tidak dapat dihitung, malah mereka lebih daripada berhak untuk tinggal di dalam kediaman yang lebih selesa dan selamat bersama ahli keluarga. Untuk makluman,  terdapat 2,000 unit RKMAT di Taman LTAT Bukit Jalil dilancarkan pada November tahun lepas manakala sebanyak 305 unit RKMAT di Kem Segamat dibina untuk mereka.

Latar Belakang Projek RKMAT Kem Segamat

Meninjau disebalik projek ini, Kem Segamat sebenarnya menempatkan pasukan Rejimen Ke-4 Artileri Diraja (4 RAD) yang berperanan sebagai Rejimen Bantuan Rapat dalam memberi bantuan tembakan yang berkesan kepada pasukan tempur agar pihak musuh tidak dapat mengganggu operasi pasukan sahabat serta pihak musuh tidak dapat mengatur rancangan operasi mereka dengan efektif.

Rancangan Pembinaan RKMAT Pelbagai Kelas di Kem ini juga telah dirancang sejak 2018 yang melibatkan RM147.7 juta. Kerja-kerja pembinaan RKMAT Kem Segamat telah bermula pada 24 April 2018 dan siap sepenuhnya pada 5 Mac 2022 membabitkan 305 unit kediaman termasuk 25 unit rumah Pegawai.

Ada lagi RKMAT yang dibina di Kem lain

Walau bagaimanapun, apa yang dilihat ini hanyalah sebahagian malah terdapat beberapa lagi RKMAT yang telah siap dibina dan bakal atau telah diduduki. Ini termasuklah:

  1. 223 unit pelbagai kelas RKMAT 11 RAMD Kem Semenggo yang telah
    diduduki pada 10 Mac 2021.
  2.  20 unit pelbagai kelas RKMAT 30 Briged Kem Oran yang pembinaannya
    telah siap sepenuhnya dan dilancarkan pada 21 Februari 2022.
  3. 204 unit pelbagai kelas RKMAT 13 RAMD Kem Pakit yang telah selesai Lembaga Ambil Alih pada 16 Februari 2022.

Bukan itu sahaja, terdapat juga 552 unit RKMAT melibatkan empat buah kem bakal siap dibina pada tahun ini. Ianya termasuklah:

i. 78 unit di 20 RAMD Kem Miri.
ii. 65 unit di 6 RAMD Kem Tok Jalai.
iii. 135 unit di 2 Rejimen Sempadan Kem Tumbi.
iv. 274 unit di 34 RAD Kem Bera.

Walau bagaimanapun, menurut Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin, tiada istilah selesai atau berpuas hati dalam soal perumahan warga ATM kerana pelbagai perancangan penambahbaikan akan sentiasa ditambah baik.

Perasmian RKMAT Kem Segamat telahpun dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Dato Seri Ismail Sabri pada Ahad lepas dalam satu majlis yang diadakan di Kem tersebut. Dalam majlis berkenaan, Perdana Menteri turut menyempurnakan penyerahan Replika Kunci kepada tiga penerima yang mewakili pegawai serta anggota pasukan 4 RAD.

Penerima lega RKMAT banyak fasiliti, lebih dekat ulang alik ke tempat kerja

Penerima RKMAT, BDR Azri Nordin sangat bangga dengan peluang diberikan kepadanya kerana bagi seorang bapa ini, rumah disediakan itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan terutama untuk anggota ATM sudah berkeluarga.

Antara fasiliti yang menjadi perhatian dirinya adalah kemudahan tadika, taska, gelanggang futsal untuk bersukan dan dewan bagi aktiviti bersosial antara keluarga ATM disamping suasana kediaman selamat.

Perjalanan untuk pergi balik kerja sebelum ini jauh, kini lebih dekat apatah lagi membolehkan mereka ulang alik ke tempat kerja dengan lebih jimat masa.

Selain itu, LBDR Galearry Anak Mathew, turut menghargai keselesaan dan peluang diberikan kepada keluarga ATM untuk memiliki rumah cukup selesa dilengkapi dengan pelbagai kemudahan demi kesejahteraan semua.

Seperti penerima RKMAT lain yang meluahkan penghargaan kepada kerajaan dan pihak berkenaan, LT Muhammad Anwar Hanif Ibrahim bersyukur diberikan peluang untuk mendiami rumah serba lengkap dengan perabot dan kelengkapan baharu.

Bukan hanya menjimatkan kos dari menyewa di luar, RKMAT juga memudahkan anggota ATM untuk mengurus jadual kehidupan harian apabila kediaman mereka dekat dengan tempat kerja.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.