Siakap Keli
wang jatuh dari langit
Gambar: Suara.com

Tular Video Penduduk Setempat Berebut Duit ‘Jatuh Dari Langit’ Yang Ditabur Ahli Perniagaan Kaya

Tular satu video di Indonesia yang memaparkan puluhan penduduk sedang berebut mengutip wang yang ‘jatuh dari langit’ pada Ahad lalu.

Memetik laporan Detik.com, kejadian tersebut dipercayai berlaku di Kabupaten Pekalongan, Indonesia.

Difahamkan, wang tersebut telah dijatuhkan oleh seorang ahli perniagaan dari atas rumahnya.

“Hujan duit turun di Kampung Pakumbulan, Buaran, Kabupaten Pekalongan. Seorang ahli perniagaan yang kaya ‘membuang’ wang tersebut dari atas rumahnya dan menjadi rebutan penduduk tempatan,” kata seorang netizen yang menulis kapsyen di video itu.

Dalam video itu, dapat dilihat bahawa terdapat wang kertas yang bertaburan dan menjadi bahan pertengkaran penduduk yang menunggu di bawah. Mereka dipercayai berebut duit kertas sebanyak Rp 50 ribu (RM14.57) dan Rp 100 ribu (RM29.13).

Menurut laporan, ahli perniagaan yang memberikan wang itu sebenarnya sedang melakukan acara udik-udikan iaitu majlis kesyukuran pembinaan rumah munggah molo atau menaikkan rangka bumbung rumah keluarganya.

Wakil keluarga itu berkata ia dilakukan bagi memelihara adat resam penduduk Pekalongan.

“Bagi pihak keluarga, saya memohon maaf kepada masyarakat, kerajaan dan pihak lain mengenai acara semalam, terutama dalam tempoh Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM).

“Walaupun ia tradisi Pekalongan, kami tidak berniat untuk memburukkan keadaan semasa pandemik ini. Sekali lagi saya memohon maaf yang tidak terhingga kepada masyarakat dan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Buaran, Iptu Safrowi berkata pihaknya tidak mengetahui mengenai kejadian itu.

“Saya tidak tahu mengenai majlis itu, saya akan semak lokasinya nanti,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, rata-rata netizen meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kejadian tersebut dan bimbang jika jangkitan COVID-19 akan merebak kerana penduduk tidak menjaga penjarakan sosial.

Sumber: Detik.com

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.