Seorang lelaki telah ditahan selepas didapati meracuni isterinya dalam kejadian di Dusun Kemuning, Kecamatan Dawarblandong, Indonesia.
Memetik laporan Suara.com, lelaki itu mengaku bahawa dia telah mencampurkan racun tikus ke dalam balang kopi yang terdapat di kedai kopi isterinya kerana sakit hati diusir dari rumah.
Dalam kejadian itu, bukan isterinya saja yang menjadi mangsa tetapi seorang lelaki yang sering minum kopi di situ.
“Saya sakit hati, isteri halau saya keluar dari rumah dan menyebabkan saya tidak ada tempat tinggal,” katanya.
Menurut pihak polis, suspek mengaku serbuk racun tikus itu pernah berada di situ sebelum ini, dia telah membelinya kira-kira dua bulan lalu.
Difahamkan, racun itu digunakan oleh lelaki tersebut untuk meracuni tikus di dalam hutan.
Suspek juga mengatakan dia merasa jengkel dengan isterinya kerana tidak dapat berhubungan intim seperti suami isteri sejak tiga tahun lalu. Katanya, dia hanya berniat untuk memberi pengajaran kepada isterinya dengan memasukkan racun itu ke dalam balang kopi.
Namun, lelaki itu juga menyatakan rasa menyesal terhadap perbuatannya itu dan meminta maaf kepada kedua-dua mangsa.
Sementara itu, polis merampas beberapa barang bukti dari kedai kopi milik isterinya itu termasuk bungkusan racun tikus, serbuk kopi dan baki kopi yang diminum mangsa, lapor Kompas TV.
Suspek akan didakwa atas tuduhan cubaan membunuh dan bakal berhadapan dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup.