Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata, pihak berwajib telah mengambil tindakan awal berkait isu sotong ring yang viral baru-baru ini.
“Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) yang berkaitan telah mengambil tindakan awal sebaik isu tersebut ditularkan dengan turun padang menjalankan siasatan serta mengambil sampel untuk dianalisa.
“Dalam masa yang sama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menghubungi badan pensijilan Halal di China iaitu Shandong Halal Certification Services (SHCS) bagi mendapatkan pengesahan berhubung sijil halal produk berkenaan,” katanya.
Tambah Idris, perbincangan antara pihak JAKIM, KPDNHEP dan JAIN (negeri Selangor, Kedah dan Perlis) telah diadakan baru-baru ini dan siasatan kini masih dijalankan.
“Hasil laporan mesyuarat tersebut memaklumkan siasatan masih sedang berjalan dan sampel makanan tersebut telah dihantar kepada Jabatan Kimia Malaysia untuk tujuan analisa dan pengesahan,” jelasnya.
Ujar Idris, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan oleh mana-mana pihak kepada peraturan yang telah ditetapkan.
Orang ramai boleh membuat aduan atau rujukan dengan pihak JAKIM sekiranya mempunyai keraguan terhadap produk-produk dalam pasaran.
Sebelum ini tular beberapa versi di media sosial tentang isu sotong ring yang didakwa dibuat daripada bahagian dubur atau usus khinzir.
Bagaimanapun syarikat pengeluar produk terbabit telah mengadakan sidang media bagi menafikan dakwaan tersebut dan berkata pihaknya akan mengambil tindakan mahkamah terhadap dua individu yang menyebarkan dakwaan itu.
https://www.facebook.com/ustazidrisahmad/posts/329356785899304
Sumber: Facebook Datuk Idris Ahmad