Syarikat pengeluar pakaian sukan, NIKE dilapor mempertimbang untuk menggantung penajaannya ke atas Chelsea yang ketika ini terpalit dengan isu sekatan oleh kerajaan United Kingdom.
NIKE menandatangani perjanjian penajaan dengan Chelsea pada 2016 yang bernilai RM 4.94 bilion.
Menurut laporan Sport Bible, jika keputusan berkenaan menjadi kenyataan, Chelsea berpontensi mengalami kerugian berjumlah RM 2.49 bilion.
Semalam, kerajaan UK mengumumkan sekatan penuh dan pembekuan aset terhadap pemilik kelab, Roman Abramovich, bilionaire asal Rusia. Keputusan itu menyaksikan Chelsea tidak lagi dibenarkan menjual tiket perlawanan, bahagian perniagaan cenderahati kelab tidak dibenarkan beroperasi, tidak boleh menandatangani pemain baharu selain kontrak pemain sedia ada tidak boleh disambung.
Kontrak beberapa pemain penting antaranya Cesar Azpilicueta, Antonio Rudiger dan Andreas Christensen dilapor tamat pada musim panas ini.
Beberapa negara besar termasuk UK sebelum ini telah melancarkan pelbagai sekatan yang menyasarkan individu penting dan perniagaan milik syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan Rusia.
Tindakan berkenaan dibuat sebagai tindak balas terhadap negara itu yang melancarkan serangan ke atas Ukraine. Abramovich dikatakan antara individu penting yang rapat dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Terdahulu, penaja utama logo jersi kelab, Three, yang merupakan syarikat telekomunikasi terkemuka dunia telah pun menarik balik tajaan yang dibuat.
BACA: Pengawal Keselamatan Maut, Seorang Cedera Ditembak Berhampiran Sebuah Bank Di Puchong Prima
Sumber: Sport Bible