Siakap Keli
Gambar : New York Post

Terima Banyak Sekatan, Rusia Dilapor Bakal Benarkan Penggunaan Perisian Cetak Rompak

Rusia merangka undang-undang baharu dengan menghalalkan cetak rompak dan membenarkan rakyatnya beroperasi seperti biasa, lapor Extreme Tech.

Menurut laporan, perkara ini adalah sebagai tindak balas terhadap sekatan perisian yang dilakukan oleh Microsoft 365 dan Oracle .

Dalam dokumen baharu, Kementerian Pembangunan Ekonomi Rusia memperincikan percubaan untuk memintas sekatan negara lain dengan menjadikan jenayah cetak rompak perisian tidak boleh dihukum.

Jika langkah itu diluluskan, undang-undang persekutuan baharu akan membenarkan rakyat memuat turun dan menggunakan perisian yang diterbitkan secara cetak rompak.

Memetik daripada laporan, rakyat akan dibebaskan daripada liabiliti undang-undang untuk tindakan sedemikian kerana kerajaan menambah kod jenayahnya dengan ‘kemungkinan penggunaan wajib perisian tidak berlesen di bawah sekatan (sic).’

Berdasarkan laporan, sudah banyak syarikat besar seperti Apple, Nvidia, Samsung, Electronic Arts (EA), Microsoft dan Oracle telah menyekat dan menutup operasi mereka di Rusia dan menjadikan perisian serta perkakasan mereka tidak lagi sah digunakan di Rusia.

Sekatan yang dilakukan ini adalah bertujuan untuk memberi tekanan kepada tentera Kremlin untuk memikirkan semula operasi tenteranya di Ukraine.

Dalam perkara 6.7.1 yang digariskan, undang-undang yang dicadangkan akan melanjutkan kebenaran untuk menggunakan hak ciptaan, model utiliti, reka bentuk perindustrian berhubung dengan program komputer, pangkalan data dan topologi litar bersepadu.

Secara keseluruhan, dasar persekutuan Rusia yang akan datang membolehkan rakyatnya bebas untuk mencuri atau menyalin mana-mana perisian sekiranya sekatan berlanjutan.

Sumber : Extreme Tech

Fathin Nadzira