Siakap Keli
loji nuklear Chernobyl
Gambar: The Guardian & Mirror

Ukraine Sahkan Terputus Hubungan Dengan Loji Nuklear Chernobyl

Ukraine memaklumkan bahawa mereka telah terputus hubungan sepenuhnya dengan loji nuklear Chernobyl yang kini telah dikuasai tentera Rusia, lapor Al Jazeera.

Perkara ini turut disahkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), autoriti di bawah Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang bertanggungjawab memantau aktiviti nuklear.

“Pengawal selia nuklear Ukraine memberitahu IAEA hari ini bahawa mereka telah hilang komunikasi sepenuhnya dengan Loji Kuasa Nuklear Chernobyl.

“Operator sudah tidak boleh mengekalkan beberapa fungsi seperti pemantauan radiasi, sistem pengudaraan dan pencahayaan biasa,” jelas IAEA melalui hantaran di laman Twitter.

Menurut agensi tersebut, kakitangan di Chernobyl tidak dapat mengikuti prosedur keselamatan standard sekiranya bekalan kuasa kecemasan terputus.

“Jika kuasa kecemasan terputus, kakitangan Chernobyl masih boleh memantau paras air dan suhu di kolam bahan api.

“Mereka akan melakukan ini dalam keadaan keselamatan yang teruk dan tidak akan dapat mengikuti prosedur keselamatan operasi radiasi,” ujar IAEA.

Dalam hantaran sama, agensi berkenaan memaklumkan bahawa Ketua Pengarah IAEA telah menerima laporan bahawa bekalan kuasa telah pun pulih di tapak berkenaan namun maklumat ini masih memerlukan pengesahan.

Tentera Rusia putuskan sambungan elektrik Chernobyl

Memetik laporan Mirror, tentera Rusia bertindak memutuskan sambungan loji nuklear daripada grid sekaligus mencetuskan ketakutan pada penduduk.

Laporan Syarikat Tenaga Nuklear Ukrenergo mendakwa loji tersebut telah ditawan secara menyeluruh oleh tentera Rusia dan telah terputus sepenuhnya tanpa bekalan kuasa.

Sementara itu, Syarikat Nuklear kerajaan Ukraine, Energoatom berkata, bahan radioaktif boleh dibebaskan daripada loji tersebut kerana tidak dapat berfungsi dengan baik selepas sambungan kuasanya terputus.

Bagaimanapun, kerja baik pulih loji berkenaan sangat mustahil kerana pertempuran kedua-dua negara itu masih berterusan.

Sebelum itu, syarikat satelit awam yang berpengkalan di Amerika Syarikat, Maxar Satellite mendedahkan beberapa foto yang merakam konvoi mega tentera Rusia yang didakwa dalam perjalanan menuju ke Kyiv, Ukraine.

Menerusi imej-imej satelit yang dimuat naik, kelihatan deretan-deretan kenderaan tentera Rusia dipercayai kenderaan antaranya trak dan kenderaan artileri yang dikatakan sepanjang 64 kilometer, menurut BNO News.

Sumber: Al Jazeera

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.