Siakap Keli
kes kanak-kanak COVID-19
Gambar fail Bernama

COVID-19: Kes Kanak-kanak Kategori 4 Dirawat Di PICU Naik 200 Peratus

Kadar kemasukan kanak-kanak ke hospital disebabkan kes jangkitan COVID-19 semakin meningkat, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menerusi kenyataan KKM di Facebook rasmi, kemasukan kanak-kanak ke wad Paediatric Intensive Care Unit (PICU) akibat kes jangkitan COVID-19 meningkat sebanyak 94 peratus untuk kesemua kategori tiga hingga lima.

”Peningkatan yang ketara dapat dilihat bagi kategori empat iaitu sebanyak 200 peratus, diikuti kategori lima sebanyak 125 peratus,” katanya.

Jelas KKM, kanak-kanak kini merupakan golongan yang lebih berisiko mendapat jangkitan COVID-19 memandangkan mereka yang berumur 11 tahun dan ke bawah, belum mendapat perlindungan sewajarnya berbanding dengan kumpulan umur yang lebih tinggi yang telah mendapat vaksinasi.

Oleh itu, KKM menasihatkan ibu bapa supaya melindungi anak-anak mereka dengan vaksinasi bagi mengelakkan jangkitan teruk Covid-19.

“Pengambilan vaksin COVID-19 amat penting bagi kanak-kanak yang berumur lima hingga 11 tahun, terutamanya apabila negara akan memulakan fasa ‘peralihan ke endemik’.

“Oleh itu, KKM sekali lagi menasihati ibu bapa mengambil vaksin untuk anak-anak bagi melindungi mereka daripada jangkitan teruk varian Omicron yang boleh membawa maut dari jangkitan COVID-19 dan komplikasinya iaitu MIS-C,” kata KKM.

Untuk makluman, kategori dua untuk pesakit COVID-19 kanak-kanak terdiri daripada pesakit yang bergejala ringan tanpa radang paru-paru.

Mereka yang bergejala dan mengalami radang paru-paru termasuk dalam kategori tiga, manakala pesakit yang bergejala sama dan memerlukan bantuan oksigen tergolong dalam kategori empat.

Bagi kanak-kanak yang disahkan dijangkiti COVID-19 dengan gejala kritikal dan memerlukan rawatan insentif di PICU, mereka akan dipantau sebagai pesakit kategori lima.

Setakat tengah malam semalam, Malaysia mencatatkan 32,800 kes positif di mana 32,259 melibatkan kes tempatan, sementara 541 lagi kes import.

Jumlah tersebut menjadikan jumlah kes kumulatif bertambah kepada 3,747,611, dengan rekod kes aktif 322,700 kes.

https://www.facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia/posts/334880718673938

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.