Akibat terlalu mempercayai sistem navigasi Waze, seorang pemandu Uber akhirnya terpaksa meninggalkan keretanya di dalam sebuah parit selepas dia melalui jalan yang berbahaya dan curam.
Pemandu tersebut yang ketika itu sangat mengantuk hanya mengikuti perjalanan yang ditunjukkan oleh sistem navigasi tersebut secara membuta tuli ketika dalam perjalanan pulang.
Tidak mahu disebutkan nama, pemandu tersebut berkata, ketika kejadian berlaku dia dalam perjalanan pulang dari menghantar pelanggan di sebuah kawasan pedalaman di Kampung Marsden yang terletak berhampiran Huddersfield.
Disebabkan terlalu mengantuk dia menggunakan sistem navigasi tersebut untuk kembali ke A62, yang mana peranti tersebut telah menunjukkan laluan yang akhirnya membawanya ke dalam jalan yang gelap dan lereng curam merentasi Saddleworth Moor.
Menurutnya lagi, walaupun dia tahu jalan yang dilalui sempit dan dipenuhi batu bergerigi, pemandu Uber itu tetap meneruskan perjalanannya sehingga akhirnya kereta Mercedes yang dipandu tersangkut di dalam parit.
Pada mulanya dia cuba untuk patah balik keluar dari kawasan tersebut, tetapi akhirnya dia membuat keputusan untuk menghubungi rakannya dan meminta tolong mereka untuk menghantarkan dia pulang ke rumah melalui jalan yang lebih mudah.
Keesokkan hari seorang penduduk tempatan, telah terserempak dengan kejadian itu dan menyangkakan bahawa pemilik kenderaan tersebut mengalami kemalangan ketika sedang bersiar-siar.
Craig Hannah yang merupakan penduduk tempatan di situ berkata dia mendapati bahawa insiden tersebut sangat luar biasa kerana pemandu Uber tersebut berjaya memandu sejauh itu di kawasan jalan yang berbatu dan sangat curam tersebut.
Menurut Hannah lagi, dia berkata “Jika anda merupakan orang tempatan, maka anda akan tahu bahawa jalan tersebut tidak boleh dilalui. Tapi kerana sangat jelas yang lelaki tersebut merupakan orang luar dan dia pasti tidak tahu akan perkara itu.”
Sementara itu, kenderaan milik pemandu Uber tersebut telah diselamatkan oleh sebuah trak pada hari Isnin lepas.
Sumber: Daily Star