Sebanyak 40 peratus pendaftar direkodkan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor iaitu berada pada kadar masih rendah, setakat jam 2 petang tadi, lapor Sinar Harian.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menjangkakan 70 peratus pendaftar bakal keluar mengundi sehingga pusat pengundian ditutup pada jam 6 petang nanti.
Menurut Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan semalam, sebanyak 1,021 pusat mengundi dibuka untuk 2,539,606 individu yang layak mengundi dalam PRN Johor.
Sejak jam 8 pagi tadi, 4,638 saluran mengundi dibuka melibatkan 49,290 petugas bagi melancarkan proses pengundian yang bakal berakhir kurang dua jam lagi.
Memetik laporan Bernama, pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Pulau Pemanggil di Mersing yang melibatkan satu saluran bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh ditutup pada pukul 1 tengah hari tadi.
Sementara 15 pusat mengundi telah ditutup sejak jam 2 petang tadi dan 41 pusat mengundi ditutup pada jam 4 petang. Manakala pusat-pusat mengundi lain masih dibuka hingga jam 6 petang.
Pada PRN Johor kali ini, seramai 239 calon daripada 15 parti politik akan bertanding merebut 56 kerusi DUN.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat ketika dihubungi Bernama berkata, keadaan aliran trafik di lebuh raya dan jalan raya di negeri ini dilaporkan lancar, selain tiada kesesakan dilaporkan berlaku di pusat-pusat mengundi.
Setakat ini, pihaknya tidak menerima laporan sama ada berhubung kekecohan atau pergaduhan terjadi di pusat mengundi.
“Proses mengundi di tempat mengundi berjalan dengan lancar, tiada juga (laporan) kejadian pergaduhan atau kekecohan diterima,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Terdahulu, SPR dalam satu kenyataan semalam turut memaklumkan bahawa pengundi yang bergejala COVID-19 akan tetap dibenarkan untuk keluar mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan.
Sementara mereka yang berstatus Patient Under Investigation (PUI) dan Person Under Surveillance (PUS) perlu memohon kebenaran keluar mengundi terlebih dahulu dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
Kebenaran tersebut adalah bergantung kepada penilaian risiko jangkitan oleh Pegawai Kesihatan Daerah tersebut dan pengundi juga perlu mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Bagi pengundi-pengundi yang tidak bergejala, pemakaian pelitup muka (face mask), pensanitasi tangan (hand sanitizer) dan merekodkan kehadiran adalah wajib, di samping mengamalkan penjarakan fizikal.
Sumber: Sinar Harian, Bernama