Siakap Keli
Gambar: Everys & The Thaiger

Saksi Persoalkan Laporan Bedah Siasat, Dakwa Tak Serupa Dengan Apa Yang ‘Dilihat’

Susulan hasil bedah siasat selebriti televisyen Thailand, Nida “Tangmo” Patcharaveerapong, sempat timbul persoalan berkait laporan bedah siasat yang tidak menyatakan sesetengah kecederaan yang dilihat saksi.

Saksi yang juga seorang rakan pelakon dan sukarelawan pencarian Tangmo memberitahu program TV tempatan bahawa kesan lebam pada wajah wanita itu mungkin disebabkan pukulan objek keras.

Saksi tersebut merupakan antara yang pertama melihat mayat Tangmo dan mengatakan terdapat lebam di di sekeliling mata kanannya, di samping beberapa puntung gigi wanita itu yang kelihatan patah.

”Mata kanannya bengkak dan lebam. Saya memang nampak gigi dia patah,” katanya.

Setelah laporan bedah siasat Tangmo dikeluarkan pihak polis, saksi kemudian mempersoalkan bagaimana kecederaan-kecederaan yang baginya jelas kelihatan tidak dinyatakan dalam laporan berkenaan.

“Saya tidak berkata apa-apa sebelum ini kerana saya fikir proses tersebut akan menunjukkan hasilnya.

Tapi hari ini, saya tidak melihat laporan sedemikian, jadi saya tampil untuk bersuara,” kata pelakon lelaki berkenaan dalam sesi wawancara Khamis lalu.

Sampel tisu Tangmo dihantar untuk pemeriksaan semula

Memetik The Thaiger, Pesuruhjaya Polis Wilayah 1, Jirapit Phumchit dalam kenyataan semalam mengesahkan, kes kematian Tangmo belum ditutup. Menurut Phumchit, pihak polis masih menunggu keputusan forensik terkini dari Institut Forensik Perubatan Hospital Siriraj.

Katanya, pemeriksaan lanjutan dilakukan untuk menyelesaikan keraguan berkait laporan bedah siasat Tangmo yang dikeluarkan nstitut Perubatan Forensik (IFM) Hospital Besar Polis sebelumnya.

Ketua Institut Perubatan Forensik (IFM) Hospital Besar Polis, Supichai Limsiwawong berkata, sampel tisu dari tubuh Tangmo telah pun dihantar ke Hospital Siriraj untuk pemeriksaan semula.

Tangmo disahkan meninggal dunia selepas terjatuh dari bot laju kira-kira jam 10.40 malam pada 24 Februari lalu ketika bersama lima lagi individu lain di Sungai Chao Phraya.

Kelima-lima mereka adalah saksi utama dalam kes kematian selebriti berkenaan dan disyaki pihak polis memberi kenyataan palsu terhadap kronologi kematian Tangmo.

Menurut keterangan saksi, Tangmo dikatakan terjatuh dan kemudiannya lemas ketika sedang membuang air kecil di bahagian belakang bot.

Setakat ini, pihak polis hanya mendakwa dua daripada mereka, iaitu pemilik dan pengendali bot ketika hari kejadian atas kecuaian mengendalikan bot tanpa lesen hingga menyebabkan kematian.

Sumber: The Thaiger

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.