Siakap Keli
Gambar: A Japper, Quora, Rachel's Ruminations, Live Japan & Discover with Joe Hattab

(Video) Nak ‘Travel’ Ke Jepun? Awas..Jangan Sekali-kali Buat 9 Perkara Terlarang Ni

Mesti ada antara anda yang berminat untuk keluar melancong, lebih-lebih lagi ke luar negara. Pelbagai negara yang menjadi pilihan orang ramai untuk dijadikan sebagai destinasi pelancongan mereka.

Menurut Japan Rail Pass, negara yang terletak di timur Bumi ini menjadi pilihan orang ramai kerana ia dipercayai sebagai salah sebuah negara memiliki kadar jenayah yang rendah.

Bukan itu sahaja, bahkan negara ini juga dipercayai mempunyai dunia fesyen yang begitu maju sehinggakan orang ramai begitu ingin mengikuti fesyen-fesyen yang terkini yang terdapat di sana.

Namun demikian, anda sebagai pelancong luar seharusnya perlu mengetahui terlebih dahulu pantang larang yang terdapat di negara berkenaan.

Sekiranya anda sudah mengetahui perkara-perkara terlarang itu, barulah anda akan berasa lebih selesa dan seronok untuk melancong di negara tersebut.

Menerusi satu perkongsian video di laman Facebook Discover with Joe Hatta, laman itu ada berkongsikan sembilan perkara yang tidak sepatutnya anda lakukan sewaktu anda berada di Jepun. Sembilan perkara tersebut adalah seperti yang berikut.

9 Perkara Yang Tidak Sepatutnya Anda Buat Di Jepun

1. Jangan makan sambil berjalan

Menurut lelaki menerusi video perkongsian itu, makan sambil berjalan merupakan salah satu perkara yang tidak sopan. Bagi masyarakat Jepun perkara itu seolah-olah tidak menghormati dan menghargai makanan dengan betul.

Malah, turut dikongsikan bahawa masyarakat Jepun gemar untuk menghabiskan terus air minuman tin yang dibeli di mana-mana mesin layan diri. Tujuan mereka berbuat sedemikian adalah untuk memastikan tin tersebut terus dikitar semula di tong sampah kitar semula yang telah disediakan berdekatan mesin tersebut.

Lebih menarik lagi apabila, lelaki itu turut memberitahu bahawa masyarakat Jepun akan memberikan anda ‘renungan yang tajam’ sekiranya anda bertindak makan atau minum di dalam kereta api yang terdapat di sana.

2. Jangan letak penyepit makanan anda secara menegak ke dalam pinggan

Gambar: Quora

Menurut Business Insider, orang Jepun akan berasa sangat kagum sekiranya anda pandai menggunakan penyepit (chopsticks). Akan tetapi, anda tidak seharusnya melakukan kesilapan dalam etika penggunaan penyepit makanan ini.

Hal ini kerana, orang Jepun mempercayai bahawa tindakan ‘buruk’ itu hanya dilakukan semaca upacara pengebumian. Oleh itu, anda diingatkan untuk sentiasa meletakkan penyepit itu di sebelah pingan atau mangkuk anda.

Tambahan lagi, anda juga tidak boleh menggunakan penyepit yang sama untuk berkongsikan makanan dengan rakan anda. Dengan kata lain anda tidak boleh ‘melagakan’ penyepit anda bersama rakan anda.

Apa yang anda perlu buat adalah, letakkan makanan itu ke dalam bekas makanan terlebih dahulu dan barulah anda beri rakan anda ambil makanan itu.

BACA JUGA: Nak Melancong Ke Langkawi? Hadam Dahulu 6 Petua Penting Oleh Orang Tempatan

3. Jangan tinggalkan sebarang tip

Gambar: Question Japan

Menurut Business Insider, masyarakat Jepun tidak menggalakkan budaya pemberian wang saguhati atau lebih mesra disebut ‘tip’. Budaya itu mungkin popular di negara-negara Barat atau di tempat lain seperti Malaysia sendiri, tetapi tidak di negara Jepun.

Bagi masyarakat Jepun, meninggalkan tip itu dianggap sebagai satu penghinaan. Unik bukan?

4. Jangan jawab panggilan telefon semasa di dalam kereta api

Gambar: A Japper

Perkara terlarang di Jepun yang paling anda tak boleh lakukan adalah dengan menjawab panggilan telefon. Hal ini kerana, masyarakat Jepun cenderung menggunakan telefon bimbit mereka secara berhati-hati di dalam kereta api. Sekiranya ada panggilan penting, mereka hanya akan menjawabnya dengan cara berbisik-bisik agar tidak diketahui ramai.

5. Pakai pelitup muka sekiranya anda sakit

Masyarakat di sana sudah sinonim dengan pemakaian pelitup muka. Lebih-lebih lagi mereka yang sedang mempunyai sebarang simptom penyakit. Orang yang sedang sakit akan memakai pelitup muka supaya penyakitnya tidak tersebar kepada orang lain.

Manakala orang yang tidak sakit pula juga akan memakai pelitup muka kerana mereka tidak mahu sakit orang lain itu terkena kepada mereka.

Dalam pada itu, masyarakat di sana memilih untuk memakai pelitup muka kerana mereka ingin mengekalkan kehangatan pada musim sejuk. Lebih-lebih lagi golongan wanita, mereka dipercayai sangat suka memakai pelitup muka pada musim sejuk.

6. Tak perlu sentuh semasa bertegur sapa

Sekadar memadai sekirannya hanya menundukkan sedikit badan anda untuk bertegur sapa dengan kenalan anda. Tidak boleh mempunyai sebarang sentuhan iaitu yang melibatkan bersalaman tangan mahupun berlaga pipi.

7. Jangan lupa buka kasut semasa masuk mana-mana bangunan

Jika anda perasan, di Jepun hampir ke semua tempat duduk adalah di atas lantai. Pergilah ke mana mana restoran, tempat duduknya mesti di atas lantai. Malah masyarakat Jepun juga dikatakan selalu menggunakan lantai sebagai tempat di mana mereka tidur dan makan.

8. Jangan mengharapkan tong sampah

Di Jepun, mereka sangat menitikberatkan kebersihan. Disebabkan itu sekiranya anda mempunyai sampah daripada plastik pembungkus makanan, anda perlu menyimpannya terlebih dahulu. Hal ini kerana, di sana tong sampah tidak akan dijumpai di merata-rata tempat.

Kebiasaannya masyarakat Jepun hanya akan membuang plastik sampah tersebut sebaik sahaja mereka tiba di rumah sendiri. Tujuannya adalah untuk memudahkan proses kitar semula di rumah.

9. Jangan memperlekehkan kad perniagaan (business card)

Bagi masyarakat Jepun, mereka sangat mengalu-alukan kad perniagaan daripada anda. Hal ini demikian kerana, menurut mereka pelancong luar negara adalah orang asing. Oleh itu, dengan menunjukkan kad perniagaan anda mereka akan berasa lebih yakin.

Sumber: FB Discover with Joe Hattab, Japan Rail Pass & Business Insider

Nadhirah