Siakap Keli
Gambar: Bernama & Immunise4Life

(Video) Vaksin COVID-19, Adakah Anak Anda Memang Perlukannya? Ini Penjelasan Terperinci Dari 5 Pakar

Umum mengetahui, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah melaksanakan pemberian vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak berusia 5 hingga bawah 12 tahun pada Februari lalu.

Program vaksinasi PICKids telah dilancarkan dalam usaha untuk melindungi kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun daripada mengalami sakit teruk dan dimasukkan ke hospital akibat jangkitan COVID-19.

Sehingga kini, lebih 1 juta kanak-kanak telah mendapatkan vaksin. Walau bagaimanapun, ramai ibu bapa masih ragu-ragu.

Dianggarkan seramai lebih 600,000 kanak-kanak yang menerima temu janji menerusi Program Imunisasi Covid-19 untuk Kanak-kanak (PICKids) tidak hadir menerima suntikan vaksin, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Masih ramai kanak-kanak di luar sana yang dilihat masih lagi tidak mengambil vaksin atas sebab-sebab tertentu. Disebabkan itu, menjadi tanggungjawab umum untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pemberian vaksin Pfizer dan Sinovac ini terhadap kanak-kanak yang berusia lima hingga sebelas tahun.

Oleh itu, Immunise4Life bersama-sama lima orang ahli panel menerusi Forum Vaksin COVID-19: Adakah Anak Anda Perlukannya? yang berlangsung secara online hari ini ada berkongsikan dengan lebih lanjut mengenai pemberian vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak.

Gambar: Immunise4life

Berikut di bawah adalah beberapa kenyataan penting yang dikeluarkan hasil forum tersebut. Selamat membaca dan semoga bermanfaat!

Sejauh manakah vaksin Covid-19 ini dapat menyelamatkan kanak-kanak berusia lima hingga sebelas tahun?

Menurut Pakar Perunding Intensif Pediatrik UiTM, Prof. Madya Dr Anis Siham Zainal Abidin, dianggarkan 17 orang kanak-kanak yang dilapor meninggal dunia akibat dijangkiti COVID-19. Malah kategori empat dan lima merupakan dua kategori yang memerlukan bantuan pernafasan sekiranya kanak-kanak dijangkiti penyakit ini.

Penularan COVID-19 ini menyebabkan serangan terhadap jantung. Serangan yang bakal dihadapi oleh kanak-kanak mungkin sama seperti orang dewasa. Oleh itu, pemberian vaksin ini dilihat dapat mengurangkan lagi risiko yang lebih berbahaya ke atas kanak-kanak sekirannya dijangkiti COVID-19.

Program vaksinasi kepada kanak-kanak

Sementara itu, menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Ketua Sektor Kesihatan KKM, Dr Saidatul Norbaya Buang, pemberian vaksin kepada kanak-kanak sangat penting untuk melindungi mereka daripada dijangkiti.

Sebelum ini, kanak-kanak memerlukan janji temu untuk mendapatkan vaksin. Tetapi kini KKM sudah membuka semua pusat vaksinasi secara walk-in. Kini ibu bapa boleh mendapatkan vaksin yang mereka mahu sekiranya tidak mahu vaksin jenis Pfizer, kata Saidatul.

Perbezaan di antara vaksin Pfizer dan Sinovac kepada kanak-kanak

Dalam pada itu, menurut Pakar Perunding Kanak-Kanak dan Neonatologi, Dato’ Dr. Musa Mohd Nordin, vaksin Sinovac menggunakan teknologi lama. Manakala Pfizer pula melalui teknologi mRNA. Teknologi mRNA akan memasukkan vaksin hanya di luar nukleus. Kaedah ini dianggap lagi berkesan jika dibandingkan dengan Sinovac dan AstraZeneca.

Oleh itu, ibu bapa tidak perlu lagi risau kerana kita semua bukan lagi ‘tikus ujian’. Risiko untuk kita maut adalah lebih tinggi jika kita tidak mendapatkan vaksin, katanya.

Risiko implikasi Pfizer dan Sinovac

Menurut Dato’ Dr. Musa sekali lagi, hanya dua kesan utama yang akan dihadapi. Pada 30 minit pertama, tekanan darah akan turun dan mudah pengsan, tetapi ini hanya dua kes dalam berjuta-juta yang menerima vaksin yang mungkin akan terjadi.

Manakala risiko yang kedua bagi Pfizer adalah inflamasi jantung myocarditis 40 kali ganda, namun ia didakwa berlaku hanya satu dalam satu juta untuk seluruh dalam rakyat Malaysia.

Vaksin selamat untuk digunakan

Selain itu, Pegawai Farmasi, Ketua Seksyen Farmakovigilans, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Dr Azuana Ramli berkata, kesemua vaksin yang digunakan di Malaysia semuanya sudah didaftarkan.

Semua vaksin ini sudah dinilai dan dikenal pasti risikonya. Jadi, vaksin-vaksin yang digunakan untuk PICKids adalah selamat untuk digunakan.

Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) daripada vaksin COVID-19

Menurut Dr Azuana Ramli, setiap hari Rabu data secara keseluruhan mengenai AEFI akan dikeluarkan oleh KKM. Perlu ditegaskan bahawa laporan yang diterima itu semuanya belum lagi disahkan hubungkaitnya dengan pemberian vaksin.

Anda tidak perlu takut, kerana kesan-kesan itu belum lagi ada hubungkaitnya dengan pemberian vaksin.

Kesan AEFI terhadap kanak-kanak dilihat sangat rendah. Majoriti laporan yang diterima adalah kesan yang tidak serius. Empat laporan sahaja yang dilaporkan serius. Tiga sahaja yang dimasukkan ke hospital untuk pemantauan dan sudah recovery, katanya.

Kalau sudah dapat vaksin influenza, adakah anak-anak perlu ambil vaksin Covid? (soalan umum)

Menurut moderator iaitu Datuk Dr Zulkifli Ismail, seorang Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik, katanya pengambilan vaksin COVID-19 tidak menjejaskan mana-mana pengambilan vaksin-vaksin lain.

Dah daftar anak untuk vaksin tetapi dalam tempoh kuarantin, jadi bilakah masa yang sesuai untuk mengambil vaksin?

Menurut Dato’ Dr. Musa Mohd Nordin, apabila anda atau anak anda sudah sihat dan berada di luar waktu kuarantin, anda boleh mendapatkan vaksin dengan segera. Dalam tempoh dua minggu selepas kuarantin atau selepas dijangkiti, anda sudah boleh mendapatkan vaksin.

Umum mengetahui, varian baharu Omicron dilihat tersebar dengan meluas. Oleh itu, adalah lebih baik untuk anda dan anak anda terus mendapatkan vaksin COVID-19. Hal ini dapat mengelakkan anda daripada mengalami sebarang komplikasi-komplikasi yang teruk sekiranya tidak mendapatkan vaksin.

Sejauh manakah keberkesanan vaksin ini?

Perlu diingatkan bahawa varian Omicron ini dianggap bijak, Dato’ Dr Musa sekali lagi mengingatkan bahawa varian ini pandai dan boleh mengelak daripada vaksin yang ada terutama vaksin lama. Vaksin Pfizer dan vaksin mRNA dilihat sangat berkesan untuk melindungi anda daripada varian ini.

Kesan sampingan hanya dua bulan pertama

Kata Dato’ Dr. Musa Mohd Nordin, kesan sampingan hanya akan ada pada dua bulan pertama selepas vaksin itu diambil.

Kalau anak ada sejarah sawan, boleh ambil vaksin atau pun tidak?

Menurut Pakar Perunding Penyakit Berjangkit Kanak-Kanak, Dr. Nik Khairulddin Nik Yusoff, sekiranya ada sawan vaksin tidak akan menjejaskan lagi kesihatan mereka. Hanya alergik yang teruk sahaja yang dipercayai boleh memberi kesan yang tidak diingini.

Jika ada kanak-kanak mengalami alahan yang teruk, perlu dapatkan vaksin yang bagaimana?

Menurut Dato’ Dr. Musa, jika anak anda penerima Sinovac sebagai dos vaksin pertama, anda boleh pastikan mereka untuk mendapatkan vaksin kedua jenis Pfizer. Manakala menurut Dr. Saidatul pula, jika anak anda mengalami alahan yang teruk, sudah memadai jika hanya mendapatkan vaksin primer sahaja iaitu Pfizer.

Kanak-kanak autism, vaksin mana yang sesuai?

Satu soalan diajukan kepada para panel yang menanyakan bagaimana jika kanak-kanak itu merupakan golongan autism. Vaksin yang bagaimana sesuai untuk diberikan kepada golongan. Menjawab persoalan itu, kesemua ahli panel bersetuju bahawa kedua-dua vaksin iaitu Pfizer dan Sinovac adalah sesuai untuk diberikan kepada kanak-kanak autism.

Kenapa risiko vaksin perlu diambil sendiri dan bukannya pihak KKM?

Menurut Dr. Saidatul, vaksin bagi kanak-kanak belum lagi mendapat kelulusan penuh. Hanya lima agensi sahaja yang bersetuju. Kerajaan ada menyediakan bantuan kesan selepas vaksin bagi mereka yang terkesan selepas mengambil vaksin.

Bagi memohon bantuan ini, anda perlu memenuhi kriteria tertentu. Salah satu daripada kriteria untuk memohon bantuan ini adalah kanak-kanak itu perlu mempunyai kesan yang sangat serius selepas mendapatkan vaksin sama ada vaksin Pfizer mahupun Sinovac. Antara kesan serius yang dimaksudkan adalah kematian.

Oleh itu, menurut Dato’ Dr. Musa 90% vaksin yang diberikan kepada kanak-kanak khususnya Pfizer dipercayai melindungi mereka daripada dimasukkan ke dalam hospital.

Dr. Anis turut menambah bahawa kebanyakan mereka yang memasuki unit rawatan rapi (ICU) adalah mereka yang tidak menerima mana-mana vaksinasi.

Selepas vaksin kenapa masih boleh kena COVID-19?

Apabila vaksin tidak diberikan secara meluas, ia akan mengakibatkan virus ini akan semakin merebak. Perlu diingatkan bahawa Omicron adalah antara virus yang paling bijak dan boleh lari daripada vaksin.

Oleh itu, menurut Dato’ Dr. Musa perlindungan tambahan menerusi vaksin dapat melindungi diri anda dan menyebabkan serangan penyakit itu tidak berlaku dengan begitu teruk. Disebabkan itu, masih ada golongan yang akan kena Covid-19 walaupun mereka sudah divaksin tetapi kesan Covid-19 itu tidaklah seteruk yang disangka-sangkakan.

Kanak-kanak berusia 11 tahun dan lahir hujung bulan, sebelum memasuki usia 12 tahun, adakah perlu mengambil dos remaja atau kanak-kanak?

Menurut Dr. Saidatul, sekiranya anak-anak dalam tempoh usia kanak-kanak, dia boleh terus mengambil mana-mana vaksin (Sinovac atau Pfizer) dan tidak perlu menunggu umur mereka memasuki remaja.

Namun, ini hanyalah pilihan, kanak-kanak tersebut boleh memilih sama ada untuk menunggu umur mereka memasuki 12 tahun atau terus sahaja mengambil vaksin sewaktu mereka berusia 11 tahun.

Satu perkongsian yang penuh dengan info bukan? Malah sangat menarik untuk dijadikan panduan bagi membuat keputusan untuk anak-anak anda. Untuk mengetahui maklumat lebih lanjut, anda boleh tonton ulangan siaran langsung di bawah.

Sumber: Forum awam vaksin COVID-19 – Youtube Immunise4Life

Nadhirah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.