Siakap Keli
memukul teman wanita
memukul teman wanita

Lelaki Pukul Teman Wanita, Naik Angin Gara-Gara Pasang Muzik Kuat

Seorang lelaki ditahan setelah bertindak memukul teman wanitanya dengan kejam, berpunca dari rasa marah dan terganggu dengan bunyi muzik yang kuat dalam kejadian yang berlaku di Atherton.

Peguam pendakwa, James Preece ketika di Mahkamah Bolton Crown berkata, suspek pada mulanya merasakan teman wanitanya itu menjengkelkan kerana mangsa memainkan muzik dengan kuat ketika berada di rumah.

Kira-kira seminit kemudian, suspek naik ke atas untuk bertanya mengenai rokok dan pemetik api sebelum bertindak memanggil mangsa dengan kata-kata kesat.

Kredit: Daily Star

Setelah itu, suspek dikatakan mencampak beg tangan mangsa ke bilik sebelah sehingga telefon bimbit mangsa terjatuh ke lantai.

Ketika mangsa cuba mengambil telefon berkenaan, suspek didakwa telah menangkap dan menolak mangsa sebanyak dua kali ke atas katil dengan kuat sehingga patah.

Mangsa yang kemudiannya diarahkan untuk mengemas beg, cuba melarikan diri sebelum suspek melemparnya ke katil semula dan mula mencekiknya.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mangsa dilihat berlari ke taman berdekatan rumah jiran dengan berkaki ayam untuk menyelamtkan diri sambil diikuti oleh suspek.

Suspek mengaku bersalah atas serangan yang menyebabkan kecederaan pada mangsa dan jenayah atas kesalahan mengakibatkan kerosakan.

Dalam satu kenyataan, mangsa memberitahu bahawa dia trauma dengan kejadian itu.

“Jika saya tidak keluar daripada rumah, saya takut memikirkan apa yang akan terjadi. Apabila dia mencekik saya, saya fikir saya akan mati,” katanya.

Kredit: Daily Star

Suspek dihukum penjara sehingga 10 bulan dan digantung selama 18 bulan selain dikenakan perintah sekatan yang melarang dia menghubungi teman wanitanya atau berada berdekatan rumah mangsa.

Dia juga perlu menyelesaikan 100 jam kerja tanpa gaji, 15 hari keperluan aktiviti pemulihan dan kursus untuk membina hubungan yang lebih baik.

Bagi tempoh tiga bulan yang akan datang, dia turut dikenakan perintah berkurung yang dipantau secara elektronik antara pukul 1 malam dan 6 pagi setiap hari.

Sumber: Daily Star

Akhmar Ikmal